PATI empat generasi bergerak bebas guna MyKad palsu - Utusan Malaysia

PATI empat generasi bergerak bebas guna MyKad palsu

Perkampungan atas air di Sepanggar, Sabah antara yang didakwa menjadi tumpuan pendatang asing tanpa izin. - UTUSAN/FAUZAN AZIMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Masalah penggunaan dokumen palsu dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah semakin rumit apabila kehadiran mereka sudah menjangkau sehingga empat generasi.

Walaupun sudah beranak pinak di negeri itu, pendatang terlibat yang berasal dari Filipina dan Indonesia itu terus menggunakan kad pengenalan (MyKad) dan pas lawatan IMM13 palsu bagi membolehkan mereka bergerak bebas.

Masalah tersebut turut merebak ke Semenanjung apabila pendatang terlibat datang untuk mencari pekerjaan.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber memberitahu, atas permintaan tinggi, ejen-ejen pemalsuan yang terdiri warga tempatan dan warga asing yang tinggal di sini mengambil kesempatan dengan mengekploitasi pengeluaran Mykad daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Selain itu, ada juga ejen yang dikesan menawarkan penjualan borang palsu bagi permohonan Mykad daripada jabatan berkaitan.

“Bukan itu sahaja, ejen turut membeli dokumen Mykad orang yang sudah meninggal dunia atau keluarga kurang berkemampuan di kawasan pendalaman dengan harga RM500 sehingga RM2,000 sebelum dipalsukan dengan cara menukar gambar sebelum dijual kepada PATI berkenaan.

“Jadi, tidak mustahil satu nombor Mykad boleh digunakan untuk beberapa individu berlainan dan membolehkan mereka keluar dari negeri berkenaan masuk ke Semenanjung,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, menurut sumber, kegiatan pemalsuan Mykad tersebut dipercayai berlaku bagi memudahkan PATI bergerak bebas di negara ini sehingga ke Semenanjung.

Jelasnya, ini susulan keistimewaan pemegang pas IMM 13 yang dimiliki PATI hanya ‘laku’ di negeri tersebut, jadi ejen dipercayai mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan kegiatan tersebut.

“Ada juga ejen yang menjalankan kegiatan menyewa MyKad rakyat tempatan di Sabah bagi kegunaan PATI dari Filipina untuk mencari pekerjaan dalam sektor berat dan perkapalan di Semenanjung.

“Setelah mereka tiba di Semenanjung, Mykad berkenaan akan dihantar balik kepada ahli sindiket menggunakan perkhidmatan kurier,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, jelas sumber, ejen pemalsuan juga menguruskan perolehan sijil kelahiran palsu daripada klinik-klinik bagi PATI tersebut.

“Selaras teknologi masa kini, ejen pemalsuan dokumen dilihat semakin ‘ke hadapan’ apabila dengan berani mengeluarkan iklan tawaran perolehan Mykad dan sijil kelahiran di sosial media.

“Dengan tawaran antara RM1,500 sehingga RM2,000, ejen ini akan menyakinkan PATI berkenaan bahawa MyKad serta sijil kelahiran itu adalah tulen yang diuruskan daripada jabatan berkaitan walhal dokumen berkenaan palsu,” katanya.

Masalah di Sabah itu antara isu melibatkan PATI yang menggunakan pelbagai cara untuk terus berada di negara ini.

Laporan Utusan Malaysia kelmarin mendedahkan, kira-kira 100,000 sehingga 200,000 warga asing ‘dilepaskan’ untuk terus tinggal di negara ini tanpa melalui tapisan yang betul.

Mereka dikesan masih berada di negara ini meskipun pasport dan permit kerja telah tamat tempoh manakala sebahagian lagi berjaya ‘melepasi’ pintu masuk untuk bekerja di sini.

Kesemua warga asing ini terdiri warganegara China, Bangladesh dan Pakistan itu dengan mudah mendapatkan ‘keistimewaan’ apabila terdapat pegawai Jabatan Imigresen yang gelap mata sanggup menyalahgunakan pengesahan cap keluar dan masuk sempadan utama negara.

Terdahulu, sebanyak 44 individu termasuk 25 pegawai Imigresen ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung isu penyalahgunaan pengesahan cap di sempadan utama negara.

Kesemua mereka ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN