Orang Asli Gua Musang harap peruntukan kemudahan asas - Utusan Malaysia

Orang Asli Gua Musang harap peruntukan kemudahan asas

KEADAAN jalan balak di kawasan Perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli negeri ini mengharapkan peruntukan pembangunan infrastruktur di kampung mereka dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan esok.

Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan, Bidi Ronggeng berkata, sebahagian besar daripada 16,575 penduduk Orang Asli di negeri ini masih hidup terpinggir dan ketinggalan dalam menikmati kemudahan asas berbanding kaum itu di negeri lain.

Katanya, masalah yang lebih utama dihadapi kaum Orang Asli di pedalaman ialah perhubungan jalan raya, air bersih, bekalan elektrik 24 jam dan masalah talian telekomunikasi.

“Saya mengakui daripada 118 kampung Orang asli di sekitar 10 pos di pedalaman di negeri ini hanya 30 peratus sahaja menikmati kemudahan seumpama itu,” katanya.

Bidi berkata, mereka juga masih menggunakan jalan yang paling teruk dan perlu dinaik taraf seperti jalan balak di Pos Pasik, Pos Gob, Pos Bihai, Pos Balar dan Pos Simpor.

“Penduduk di kawasan berkenaan sering bermasalah terutamanya ketika musim tengkujuh apabila terpaksa mengharungi jalan balak yang berselut,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Pos Hendrop, Kamal Rami berkata, Kerajaan Perikatan Nasional harus memberi fokus kebajikan masyarakat pelbagai kaum walaupun negara sedang berdepan ancaman wabak Covid-19.

Katanya, selain bantuan kesihatan, pembinaan dan naik taraf jalan perhubungan yang dirancang sejak kerajaan BN harus dilaksanakan bagi memberi kemudahan terhadap masyarakat Orang Asli dalam urusan harian mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN