GEORGETOWN: Seorang nelayan tidak menyangka memperoleh hasil tangkapan dua ekor ikan yu kemian dengan anggaran berat 26 kilogram ketika menjala ikan di Pulau Kendi, berhampiran kawasan Teluk Kumbar, di sini kelmarin.
Roslizan Ramli, 39, berkata, dia terkejut sebaik sahaja mendapati rawai yang baru dilepaskan kurang sejam ke dalam laut itu terkena pada mulut spesies ikan tersebut kira-kira pukul 3 petang.
Menurutnya, tangkapan yang diperolehnya itu adalah pertama kali sejak menjadi nelayan 25 tahun lalu dan menganggapnya rezeki yang dianugerahkan kepadanya ketika negara dilanda penularan pandemik Covid-19.
“Tidak sangka rutin harian menangkap ikan di belakang Pulau Kendi bersama dua lagi awak-awak mencipta sejarah dalam hidup dengan memperoleh hasil tangkapan yang lumayan.
“Saya hanya menggunakan umpan isi ikan kembung dan mengambil masa kira-kira setengah jam untuk membawa naik dua ekor ikan yu kemian itu ke atas bot. Ini adalah pengalaman paling berharga buat saya setelah lebih dua dekad turun ke laut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Bapa kepada empat cahaya mata itu memberitahu, ikan yu kemian yang berjaya ditangkap itu kemudiannya dijual kepada seorang penggemar makanan laut pada
harga kira-kira RM400.
Cerita Roslizan lagi, terdapat pelbagai spesies ikan termasuk kembung, bawal hitam, udang, senangin dan pari di kawasan perairan berkenaan sekali gus menjadi lubuk mencari rezeki golongan nelayan tempatan.
“Banyak ikan besar termasuk spesies hidupan laut yang luar biasa masuk ke kawasan perairan di situ sejak awal tahun ini.
“Mungkin disebabkan penguatkuasaan larangan operasi bot pukat tunda memasuki ke kawasan nelayan pantai memberi peluang kepada hidupan laut bergerak atau bermigrasi ke kawasan ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, jelasnya, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, populasi ikan kembung semakin banyak di kawasan perairan Teluk Kumbar termasuk bekalannya tidak pernah putus sehingga hari ini.
“Ikan kembung akan dijual kepada peraih pada harga RM2.50 hingga RM3.50 sekilo dan akan berlaku penurunan harga sekiranya jumlah tangkapan banyak,” ujarnya. – UTUSAN










