MPB jalin kerjasama siar slot TV Pendidikan - Utusan Malaysia

MPB jalin kerjasama siar slot TV Pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan dan Media Prima Berhad (MPB) bersetuju bekerjasama bagi menyiarkan slot program TV Pendidikan dikenali DidikTV@NTV7 di saluran NTV7.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, kerjasama itu adalah inisiatif tambahan kepada siaran slot TV Pendidikan yang sebelum ini disiarkan menerusi saluran TV Okey, RTM dan saluran Tutor TV di Astro.

Jelas kenyataan itu, slot program TV Pendidikan adalah usaha membolehkan murid
mendapat akses kepada bahan pembelajaran terutama ketika lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Inisiatif ini juga adalah untuk meningkatkan akses murid kepada bahan pembelajaran melalui platform alternatif selain daripada pembelajaran dalam talian.

“Sebagai permulaan, slot TV Pendidikan di saluran NTV7 akan mula bersiaran pada
23 November ini sehingga 31 Disember,” jelasnya di sini semalam.

Menurut Kementerian Pendidikan, program itu akan disiarkan selama tiga jam pada setiap Isnin hingga Jumaat dan waktu siarannya pula pada pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Pada masa sama, kementerian dan MPB sedang dalam rundingan bagi meneruskan slot itu pada tahun depan.

Jelas kenyataan itu, menerusi kerjasama tersebut, jumlah slot TV Pendidikan kini adalah sebanyak sembilan jam sehari dan disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat.

“Jadual rancangan boleh didapati dengan melayari portal rasmi kementerian di www.moe.gov.my atau di media sosial rasmi iaitu Facebook, Instagram dan Twitter @KemPendidikan.

“Kementerian yakin slot program TV Pendidikan melalui kerjasama MPB ini akan memberi manfaat kepada murid, guru dan ibu bapa bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dengan lebih meluas, terutama dalam keadaan yang mencabar pada masa ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN