Malaysia beli 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada Pfizer - Utusan Malaysia

Malaysia beli 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada Pfizer

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia akan mendapatkan bekalan awal vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer sebanyak 12.8 juta dos bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dibuat menerusi satu perjanjian bersama dengan syarikat tersebut pada 24 November lalu yang antara lain memastikan kerajaan mempunyai akses kepada data untuk menilai kualiti, keselamatan dan tahap keberkesanannya.

Menurut beliau, ini termasuk jaminan akses kepada vaksin tersebut sekiranya sedia untuk diedarkan oleh pihak syarikat tersebut selepas analisis data interim pertama Pfizer menunjukkan keberkesanan vaksin adalah 95 peratus.

Melalui perjanjian itu juga katanya, Pfizer berjanji untuk menghantar sebanyak satu juta dos bagi suku pertama 2021, disusuli dengan 1.7 juta dos pada suku tahun kedua, 5.8 juta dos pada suku tahun ketiga dan seterusnya 4.3 juta dos pada suku tahun keempat.

“Pihak syarikat bagaimana pun masih perlu mendapatkan kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan kelulusan regulatori daripada negara pengeluar, di samping mendapat kelulusan Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) Kementerian Kesihatan sebelum vaksin ini boleh digunakan di Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar secara sidang video dengan para media di Pejabat Perdana Menteri, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin.

Menurut Perdana Menteri, perjanjian dengan fasiliti COVAX juga turut ditandatangani oleh Adham pada 22 November lalu untuk memperoleh bekalan vaksin tersebut bagi menampung keperluan imunisasi 10 peratus lagi rakyat negara ini.

Justeru, kata beliau, kedua-dua perjanjian itu sekali gus dijangka dapat menjamin akses vaksin Covid-19 untuk 30 peratus rakyat.

Muhyiddin turut menjelaskan, ujian klinikal fasa ketiga untuk vaksin Pfizer melibatkan seramai 43,998 peserta dari pelbagai negara seperti Amerika Syarikat (AS), Argentina, Brazil, Jerman, Afrika Selatan dan Turki.

Jika digabungkan kesemua 12 vaksin yang berada di ujian klinikal fasa ketiga, jelas beliau, seramai 500,000 peserta telah terlibat.

“Selepas menjalani ujian klinikal, semua data yang diperoleh akan dinilai oleh badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), FDA dan Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA).

“Di Malaysia, NPRA menilai data-data tersebut untuk memastikan ia selamat diambil rakyat. Ini bermakna tahap keberkesanan dan keselamatan vaksin telah pun diuji di peringkat ujian klinikal,” katanya.

Perdana Menteri berkata, proses pemberian vaksin, setelah diperoleh nanti, akan dilakukan secara berperingkat dengan mengutamakan kumpulan berisiko tinggi yang mudah mendapat jangkitan Covid-19.

Kumpulan berisiko tinggi itu, kata Perdana Menteri, termasuklah petugas-petugas barisan hadapan, warga emas dan pesakit-pesakit yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit jantung, diabetes, penyakit pernafasan kronik dan sebagainya sebelum diperluaskan kepada kumpulan sasar lain.

Namun, katanya, barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi lain bukanlah uji kaji pertama tetapi mereka akan mendapat vaksin yang telah diuji dan terbukti selamat.

Setelah vaksin digunakan, jelasnya, pemantauan keberkesanan dan keselamatan tetap akan diteruskan oleh NPRA.

“Kedua-dua kementerian masih giat meneruskan rundingan dengan syarikat-syarikat pengeluar vaksin di seluruh dunia untuk mendapatkan akses kepada vaksin Covid-19 yang secukupnya untuk rakyat negara ini.

“Kerajaan juga ingin memberi jaminan kepada semua rakyat bahawa vaksin yang akan digunakan di negara ini mesti melepasi syarat-syarat ketat yang ditetapkan NPRA dan kerajaan tidak akan sekali-kali berkompromi dalam soal ini,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri memberikan jaminan pemberian vaksin Covid-19 adalah percuma dan tidak akan dikenakan sebarang caj kepada rakyat manakala warga asing dikenakan bayaran dalam kadar yang akan ditentukan kelak.

Kata beliau, pemberian vaksin Covid-19 juga tidak akan melibatkan kumpulan pelajar sekolah di peringkat awal sebagaimana diputuskan pakar-pakar yang terlibat setakat ini.

“Setakat ini tidak ada perancangan untuk mewajibkan vaksin Covid-19 kepada semua tetapi hanya diberikan suntikan kepada mereka yang sudah bersetuju menandatangani secara bertulis dan sukarela serta tiada paksaan.

“Namun saya harap kumpulan berisiko tinggi wajar bersedia untuk diberikan vaksin ini supaya kita dapat mengawal wabak Covid-19.

“Namun saya yakin tahap penerimaan orang ramai tinggi dan banyak pihak sedang menunggu untuk diberikan imunisasi vaksin,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan bakal memulakan satu kajian klinikal fasa ketiga vaksin Covid-19 menerusi inisiatif kerajaan dengan kerajaan (G2G) bersama China yang dibangunkan Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences (IMBCAMS).

Muhyiddin berkata, kajian klinikal peringkat itu akan bermula bulan depan di negara ini melibatkan sejumlah 3,000 peserta untuk menilai keselamatan serta keberkesanan vaksin Covid-19 yang dibangunkan itu.

Beliau menjelaskan, kajian itu dikendalikan oleh Pertubuhan Kajian Klinikal (CRO) tempatan dan telah pun didaftarkan di dalam Daftar Kajian Perubatan Nasional (NMRR).

Menurut beliau, profil keselamatan vaksin akan diteliti terlebih dahulu oleh NPRA untuk memperoleh Lesen Import Kajian Klinikal (CTIL) dan protokol kajian akan dikaji oleh Jawatankuasa Etika dan Kajian Perubatan (MREC) bagi memastikan kajian dijalankan mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan.

“Kajian klinikal fasa ketiga ini juga melibatkan lapan pusat penyelidikan klinikal di bawah seliaan Kementerian Kesihatan. Kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada IMBCAMS yang akan bekerjsama untuk menjalankan kajian klinikal fasa ketiga ini di Malaysia,” katanya.

Muhyiddin berkata, Malaysia berusaha seberapa boleh untuk menjadi pengeluar vaksin sendiri pada masa depan bukan hanya untuk bekalan vaksin Covid-19 tetapi bagi kegunaan penyakit-penyakit lain.

Kata beliau, Malaysia bersedia menyediakan insentif kepada mana-mana syarikat dari negara luar untuk bekerjasama menjalankan penyelidikan pembangunan vaksin.

Mengulas mengenai bekalan vaksin Covid-19, Perdana Menteri menjelaskan, kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin adalah kriteria utama yang akan diambil kira dalam pemilihan vaksin melalui penilaian data daripada kajian klinikal.

Selain itu, katanya, harga vaksin dan kos sampingan seperti keperluan peralatan dan bahan pakai buang juga akan turut diambil kira dalam pertimbangan tersebut.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya