Lelaki  dihempap pokok ketika pulang memancing - Utusan Malaysia

Lelaki  dihempap pokok ketika pulang memancing

Orang ramai membantu mengeluarkan mangsa yang dihempap pokok di Jalan Temerloh-Triang berhampiran Kampung Tenggoh di Temerloh Pahang, semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Hasrat seorang lelaki mencari lauk untuk keluarga dengan pergi memancing berakhir dengan tragedi apabila dia dihempap sebatang pokok hutan di Jalan Triang-Temerloh berhampiran Kampung Tenggoh di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu mangsa, Muhammad Mokhtar Umar, 54, patah tulang belakang dan patah paha kiri.

Rakan mangsa, Samsudin Mahmud, 48, berkata, semasa kejadian, dia yang menunggang motosikal mengikuti di belakang Muhammad Mokhtar yang membonceng anaknya untuk pulang ke rumah. 

“Semasa kejadian hujan lebat dan saya mengajaknya berteduh dahulu tetapi dia kata tidak apa kerana sudah basah kena hujan.

“Tiba-tiba sebatang pokok hutan patah dan menghempap bahagian depan motosikal Muhammad Mokhtar menyebabkan kaki kanannya ditindih motosikal manakala kaki kiri ditindih dahan kayu,” katanya di sini hari ini. 

Menurut Samsudin, dia sempat mengelak daripada melanggar pokok berkenaan manakala anak mangsa mengalami kecederaan ringan.

Katanya, sejurus selepas kejadian itu, dia dan beberapa penduduk kampung berhampiran bersama-sama memotong pokok kayu berkenaan dan mengeluarkan mangsa.

Jelasnya, mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dan berada dalam keadaan stabil. 

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Temerloh, Hashnuddin Hussein berkata, seramai tujuh anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 5.36 petang.

“Pasukan bomba bertindak menggunakan dua unit gergaji berantai bagi memotong pokok tersebut sehingga keadaan terkawal dan jalan selamat digunakan orang awam,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN