KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai susulan dakwaan penjualan 42 plot tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Katanya, sehingga ke hari ini, beliau tidak pernah menerima sebarang permohonan penjualan aset dikemukakan DBKL.
Beliau berkata, sebagai seorang ahli Parlimen yang telah lama berkhidmat, Kok Wai sepatutnya memilih saluran yang tepat dengan membangkitkan perkara itu melalui pertanyaan di Dewan Rakyat.
“Malah beliau mempunyai peluang dalam Parlimen berucap dan bertanya kepada saya supaya saya boleh memberikan jawapan. Tetapi beliau telah memilih untuk bercakap di luar Parlimen, maka sudah tentulah tindakan di luar Parlimen tertakluk kepada undang-undang yang tertentu.
“Saya telah mengarahkan kepada peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau mengikut jalur dan proses yang sedia ada,” katanya ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen sebentar tadi.
Semalam Kok Wai mendakwa, 42 plot tanah DBKL telah terjual dalam tempoh lapan bulan terakhir Annuar berkhidmat sebagai menteri.
Beliau turut mempersoalkan apakah status penjualan itu dan adakah dilakukan mengikut peraturan yang ditetapkan. – UTUSAN ONLINE