KUALA TERENGGANU: Kalangan nelayan Terengganu berharap kerajaan dapat melaksanakan semula program subsidi enjin yang pernah diperkenalkan pada 1985 dalam usaha memajukan lagi industri perikanan di negara ini.
Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu), Mat Yassim Mohamed berkata, inisiatif julung kali 35 tahun lalu itu terbukti berkesan hingga kini apabila rata-rata nelayan mampu meneruskan kelangsungan hidup menerusi enjin percuma yang diberikan kerajaan.
Katanya, sudah tiba masanya kerajaan mengembalikan semula program itu sama ada bagi pemberian subsidi enjin dalam atau enjin sangkut.
“Keberkesanan program itu cukup besar, daripada tidak mampu membeli bot akhirnya nelayan boleh memiliki bot dan keluar mencari rezeki, bahkan dapat menampung kehidupan keluarga serta membesarkan anak-anak sehingga dewasa.
“Jadi kami berharap dalam Belanjawan 2021 kerajaan dapat memberi perhatian tentang pemberian subsidi enjin ini dan apabila ada subsidi automatik perlu diberikan sekali lesen sampan bagi membolehkan nelayan membeli insurans di samping mendapatkan subsidi petrol,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Mat Yassim, langkah itu penting kerana ada dalam kalangan nelayan yang masih tidak mampu untuk membeli enjin berikutan skim pinjaman sedia ada melalui Agrobank melibatkan cagaran.
Sementara itu, seorang nelayan separuh masa, Mohd. Shukri Abd. Rahman, 34, berkata, selain subsidi enjin, kerajaan turut diminta menyediakan skim pinjaman khas bagi pembelian enjin berkuasa besar.
Katanya, skim sedia ada terhad buat enjin bot kecil sekali gus menyebabkan mereka terpaksa membuat pembiayaan peribadi untuk mendapatkan peralatan utama itu.
“Ketika ini kami cuma bergantung kepada pinjaman peribadi dengan Bank Rakyat untuk membeli enjin bot berkuasa besar yang nilainya kira-kira RM50,000.
“Dengan adanya skim pinjaman untuk membeli enjin di samping subsidi, nelayan dapat memiliki enjin berkuasa besar sekali gus membolehkan kami bergerak lebih jauh dan meraih lebih banyak hasil tangkapan kerana mempunyai kelengkapan bot yang bersesuaian untuk menangkap ikan walaupun dalam keadaan tidak menentu,” katanya. – UTUSAN










