Joe Biden bakal buka peluang kepelbagaian di Asia Pasifik - Utusan Malaysia

Joe Biden bakal buka peluang kepelbagaian di Asia Pasifik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) di bawah bakal Presiden, Joe Biden, 78, dilihat akan terus membuka peluang kepada kepelbagaian dan hubungan diplomasi antara negara itu dengan ekonomi Asia Pasifik.

Presiden Kumpulan Eurasia, Ian Bremmer berkata, kemenangan Biden semasa pilihan raya Presiden baru-baru ini dijangka menjana perdagangan global lebih kukuh di samping meredakan hubungan global yang kelihatan tegang akhir-akhir ini.

“Pendekatan ini akan membuka perdagangan yang mesra kepada semua pihak kerana beliau dilihat lebih mesra terhadap rantau ini dan negara lain berbanding Donald Trump yang lebih mengutamakan AS,” katanya semasa sesi perbincangan Dialog CEO APEC 2020 secara maya bertajuk ‘Selepas Pandemik: Dunia pada 2021’.

Bremmer berkata, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang dimuktamadkan baru-baru menunjukkan tanda positif dalam peningkatan perdagangan terutama ketika dunia berdepan krisis kesihatan global akibat Covid-19.

Katanya, ekonomi global terutama Asia Pasifik akan kembali meningkat tahun depan berdasarkan perkembangan positif penghasilan vaksin pandemik tersebut.

Katanya, vaksin yang dijangka tersedia awal tahun depan akan menjadi perintis perubahan kepada ekonomi global selain meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sentimen pengguna.

“Kedatangan vaksin ini akan menyelamatkan ratusan bahkan trilion pelaksanaan pelan pemulihan ekonomi semua negara dan tidak mustahil rantau Asia Pasifik, AS, benua Eropah dan lain-lain akan kembali pulih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN