JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri terpaksa mendapatkan bantuan bomba selepas mendapati salah seorang anak mereka ‘terperangkap’ di dalam bilik di rumahnya di Pangsapuri Kenari, Bandar Baru Kangkar, Pulai dekat sini malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, kedua-dua mereka bersama tiga lagi anak baharu pulang dari kuil berhampiran.
Namun apabila tiba di rumah, mereka mendapati pintu rumah berkunci.
Keluarga kepada lelaki berusia 21 tahun itu membuat panggilan kecemasan setelah gagal mengejutkan mangsa selama hampir sejam.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan Il Faisal Ismail berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan mengenai orang terperangkap dalam rumah kira-kira pukul 11 malam.
Katanya, susulan itu seramai 10 anggota dikejarkan ke tempat kejadian bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Skudai.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati terdapat mangsa ‘terperangkap’ di dalam sebuah bilik. Ketika cuba membuka pintu dengan menggunakan peralatan khas, mangsa tiba-tiba muncul dengan mengatakan tertidur akibat kepenatan.
“Kita membuat pemeriksaan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum berpatah semula ke balai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE