Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 mula buka pencalonan

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 mula buka pencalonan

Dewan Bahasa dan Pustaka. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setelah lebih setahun tidak dianjurkan, Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) mula membuka tawaran pencalonan bagi karya dikeluarkan pada 2019 dan 2020.

Menurut kenyataan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku penganjur serta mewakili kerajaan Malaysia, tarikh tutup penyertaan malahan ditetapkan sehingga 15 Januari 2021.

“Pengiktirafan ini diberikan kepada karya terbaik yang pernah diterbitkan sepanjang tahun lalu dan tahun ini,” katanya menerusi hantaran disiar dalam laman sosial rasmi DBP semalam.

Agensi itu menambah, penyertaan terbuka kepada warganegara Malaysia termasuk yang bermastautin di luar negara serta karya berbahasa Melayu diterbitkan di seluruh dunia.

Empat kategori dipertandingkan dengan Kategori A iaitu sastera dewasa, Kategori B pula karya eceran, Kategori C meliputi sastera kanak-kanak dan Kategori D iaitu sastera remaja.

Karya berbentuk buku perlu dihantar sebanyak enam naskhah untuk setiap judul, manakala karya eceran hendaklah diserah dalam bentuk salinan fotokopi daripada naskhah asal.

Borang pencalonan boleh dimuat turun dengan klik pautan atau imbas kod QR di mana-mana wadah media sosial rasmi DBP dan jika ada pertanyaan, sila hubungi 03-21479131.

Penyertaan yang lengkap perlu dialamatkan kepada Urus Setia Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020, Aras 25, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur.

HSPM merupakan pengiktirafan tertinggi sastera peringkat kebangsaan yang diperkenalkan pada 1971 lalu hasil inisiatif oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein.

Beliau amat prihatin bagi meningkatkan mutu karya kesusasteraan negara dengan memberi insentif menarik kepada setiap pemenang dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan.

Pada asalnya, anugerah tahunan berprestij ini dikenali sebagai Hadiah Karya Sastera sebelum ditukar nama Hadiah Sastera Malaysia mulai 1982 dan kemudian HSPM sejak 1996 lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.