DOSM dedah ada negeri belum kongsi data peniaga kecil - Utusan Malaysia

DOSM dedah ada negeri belum kongsi data peniaga kecil

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Usaha kerajaan untuk membantu membela penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara berdepan sedikit kesukaran kerana ada negeri tidak berkongsi data sektor informal.

Perkara itu didedahkan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin ketika berucap pada Seminar My Local Stats 2020 yang berlangsung secara maya hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhannya jumlah data dikumpul Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hanya 240,563 rekod meliputi pelbagai lesen peniaga mikro.

“Data dibekalkan hingga Oktober lalu oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) namun masih ada yang tidak lengkap terutama di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Pahang,” katanya.

Secara keseluruhan ujar beliau, sejumlah 118 PBT telah memberi maklumat manakala 38 lagi masih dalam pengemaskinian dan penyelarasan data sebelum diserah kepada KPKT.

Pengumpulan data peniaga mikro ini sejajar keputusan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara pada 30 Mac lalu dan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ia menetapkan pangkalan data berkaitan sektor informal perlu dibangun dan diketuai Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebagai agensi penyelaras statistik nasional,” jelas Mohd, Uzir.

Meskipun tidak merujuk secara spesifik, kenyataan beliau itu ternyata memberi maklum balas terhadap inisiatif terbaharu dilancarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Semalam, menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan sedia rekod lebih sejuta peniaga mikro seluruh negara yang belum berdaftar dengan mana-mana agensi.

Golongan itu dipercayai bimbang berbuat demikian kerana berasa takut perlu membayar cukai pendapatan dan tidak layak lagi menerima skim Bantuan Prihatin Nasional daripada kerajaan.

Justeru beliau ketika merasmikan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2020 berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan persatuan terbabit bagi mendaftarkan usahawan mikro tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir turut sependapat dengan Wan Junaidi, pengumpulan data itu penting bagi membolehkan kerajaan dapat menyalurkan bantuan kewangan dan kemahiran.

“Data komprehensif dapat dikemas kini secara berterusan dan hasil beberapa siri mesyuarat, 27 pemboleh ubah dicadangkan untuk bangun Pangkalan Data Sektor Informal,” kata beliau.

Ini termasuk nama peniaga, nombor kad pengenalan, jenis lesen, nama perniagaan, alamat premis, jenis bisnes, nombor telefon, lokasi penjaja, tarikh tamat lesen dan nombor fail.

Berdasarkan data terkini, Selangor muncul paling ramai peniaga mikro iaitu 42,172 lesen kebanyakan di pasar malam, tani dan sebagainya manakala Johor tertinggi penjaja iaitu 13,231 lesen. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya