Covid:19: NGO Selangor akan serah memorandum kepada kerajaan pusat - Utusan Malaysia

Covid:19: NGO Selangor akan serah memorandum kepada kerajaan pusat

NAZILAH (dua dari kanan) menyerahkan memorandum kepada S.Hassan Kuthos untuk diserahkan kepada Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang akhbar di Bandar Putera, Klang, Selangor hari ini. UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Selangor akan menyampaikan memorandum kepada Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat bagi mendesak kerajaan pusat untuk melaksanakan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat di kawasan yang mencatat kes Covid-19 tinggi.

Pengerusi NGO Selangor, Datuk Nazilah Idris berkata, pihaknya kesal kerana rakyat hidup dalam ketakutan kerana terdapat syarikat besar seperti Top Glove Sdn.Bhd. di Meru masih beroperasi walaupun ramai pekerjanya dijangkiti Covid-19.

Menurutnya, pihaknya menerima banyak aduan daripada masyarakat tempatan yang bimbang kerana terdapat banyak kes melibatkan pekerja kilang tersebut hingga wujud Kluster Teratai, tetapi kilang masih beroperasi. 

“Selangor mencatatkan kes tertinggi pada masa ini dan kerajaan seharusnya perlu meningkatkan SOP dengan memberikan arahan penutupan sementara kilang itu.

“Sekiranya benar ramai yang dijangkiti, kilang tersebut harus di nyah kuman dan semua pekerja perlu dirawat agar mereka bebas daripada jangkitan dan baru dibenarkan beroperasi,”katanya dalam  sidang akhbar di Bandar Putera di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi NGO 99 Pertubuhan Kebajikan Insan Selangor (Kesan), Muhd.Ali Zakariah, Pengerusi Gerakan Meru Prihatin (GMP), S.Hassan Kuthos dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Insan Selangor (Perkis),Mohd.Hidir Mohd.Din.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja Top Glove bermula Selasa lalu sehingga 30 November hadapan.

Pelaksanaan PKPD di kawasan berkenaan terpaksa dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 215 kes positif Covid-19.

Mengulas lanjut, Nazilah berkata, suatu tindakan komprehensif dan drastik perlu diambil bagi mengatasi masalah pandemik Covid-19 bukan sahaja di Meru tetapi melibatkan seluruh negeri bagi memastikan rakyat berasa yakin untuk keluar bekerja. 

“Kita sedar Selangor menyumbang 40 peratus ekonomi Malaysia tetapi kesihatan rakyat tidak boleh dikompromi. Sekiranya SOP yang lebih ketat dilaksanakan, pandemik Covid-19 boleh dikekang maka lakukan segera di negeri ini sebagaimana yang sedang dilaksana di Sabah,” katanya.

Sementara itu, S.Hassan berkata, pihaknya kesal kerana ada peniaga kecil di Meru yang terjejas disebabkan wujud kes melibatkan pekerja syarikat produk getah tersebut.

“Sepatutnya kilang ini dihentikan operasi seketika untuk proses pemulihan bagi membolehkan seluruh penduduk dapat melakukan kegiatan sosio-ekonomi seperti sedia kala.

“Peniaga pasar malam tidak dibenarkan berniaga kerana kes Covid-19 di kawasan asrama kilang, namun mengapa kilang masih beroperasi, adakah pekerja yang masih sihat tidak berisiko menjangkiti orang lain di luar kilang,”katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya