Bumbung rosak diterbangkan angin Monsun Timur Laut - Utusan Malaysia

Bumbung rosak diterbangkan angin Monsun Timur Laut

Zani Ibrahim, menunjukkan rumahnya di Taman Megah, Batu Pahat yang rosak akibat ribut dan angin kencang lewat petang semalam. Gambar: Mohamad - UTUSAN MOHD FAHD RAHMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT : Angin Monsun Timur Laut disertai hujan lebat yang kerap berlaku ketika ini menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini terjejas semalam.

Dalam kejadian itu, sebanyak 35 kediaman  di Taman Megah dan Linau Kecil mengalami kerosakan manakala sebuah khemah menempatkan petugas sekatan jalan raya (SJR) di Tol Ayer Hitam roboh.

Namun tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan berlaku.

Seorang penduduk Taman Megah, Zani Ibrahim, 53, berkata, dia dan keluarga sedang berehat di dalam rumah sebelum terkejut dengan tiupan angin kuat.

“Sebaik sahaja angin reda hujan mula turun dan air mula menitik di ruang tamu. Saya sangka bumbung rumah saya bocor kerana hujan lebat.

 “Kemudian saya keluar rumah untuk mengangkat kain di ampaian tetapi terperanjat apabila melihat bumbung di ruang tamu dan garaj sudah hilang.

“Saya panik dan menjerit akibat kejadian itu dan menyebabkan jiran-jiran saya turut keluar rumah dari rumah mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Katanya, beberapa rumah jirannya turut terkena angin ribut yang menyebabkan bumbung kediaman mereka rosak.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Jasrezal Johar, 36, berkata mendapat panggilan mengenai kejadian sama menimpa rumahnya kira-kira 4.30 petang sebelum bergegas pulang dari tempat kerja.

“Ketika kejadian saya berada di kilang tempat kerja di Sri Gading dan bergegas pulang dan apabila sampai ke rumah saya terkejut apabila melihat hampir separuh bumbung rumah hilang.

“Apabila masuk ke dalam rumah rumah saya digenangi air dan kejadian ini menyebabkan beberapa peralatan elektrik serta perabot turut rosak,” katanya.

Dalam pada itu, Penghulu Mukim 5 Simpang Kanan, Mohamad Saarni berkata, pihaknya telah memaklumkan kejadian itu pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

“Difahamkan sebuah khemah menempatkan petugas SJR di Tol Ayer Hitam turut roboh akibat kejadian ribut disertai hujan lebat dan angin kencang petang semalam,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya