Bapa Norihan kecewa tidak dapat lawat anak di hospital - Utusan Malaysia

Bapa Norihan kecewa tidak dapat lawat anak di hospital

G. Tari (tengah) bersama isteri, A. Nokmah dan saudaranya di kediaman mereka di Felda Kumai di Bera, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Bapa anggota Batalion 3 Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Sarjan T. Norihan, 39, yang cedera parah ditembak selepas bertempur dengan lebih 13 penyeludup dari Thailand, G. Tari, 60, begitu teringin melawat anaknya yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Namun katanya yang mengalami strok, masalah kesihatan itu menjadi halangan terbesar untuk dia melawat anaknya.

“Tambahan pula, negara masih berdepan penularan jangkitan Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam pada itu, Tari berkata, keluarganya gembira kerana anak kedua daripada lima adik beradik itu sudah pun sedar dan boleh bercakap.

Katanya, berita gembira tersebut dimaklumkan melalui panggilan telefon oleh menantunya di Pulau Pinang.

Menurutnya, mereka sekeluarga terutama ibu Norihan, A. Nokmah, 58, sentiasa berdoa agar anggota PGA itu cepat sembuh, dapat bersama keluarga dan kembali bertugas demi negara.

“Pada masa sama, kami sekeluarga sangat terharu perhatian berat kerajaan terhadap kebajikan Norihan. Apabila anak saya bersama mendiang Sarjan R. Baharuddin dinaikkan pangkat berkuat kuasa serta-merta, ia merupakan satu penghormatan tertinggi kepada keluarga,” katanya.

Tambah Tari, mereka sekeluarga menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah kerana berkenan menganugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) kepada Norihan.

Ketika dimaklumkan tentang kejadian yang menimpa anaknya itu, katanya, tanpa sedar dia meraung sekuat hati kerana tidak menyangka musibah itu.

“Kali terakhir kami bertemu pada 24 Oktober lalu apabila Norihan sekeluarga bercuti di Felda Kumai dan perkampungan Orang Asli Etnik Semalai Ibam dekat Kampung Kuala Bera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN