RANTAU PANJANG : Kawalan keselamatan sempadan negara dipertingkat hingga ke tahap maksimum susulan insiden anggota Pasukan Gerakan AM (PGA) maut ditembak ketika mengawal sempadan negara di Perlis baru-baru ini.
Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia Brigedier Jeneral Zamsari Abu Hassan berkata, antara langkah diambil mengadakan rondaan lebih kerap di kawasan titik panas, pemantauan menggunakan dron serta meningkatkan kerjasama risikan antara agensi.
Tambah beliau, dalam masa sama, setiap anggota bertugas diwajibkan memakai jaket kalis peluru dan helmet balistik atau helmet tempur bagi mengurangkan risiko cedera ditembak.
“ATM tidak akan berganjak malah akan terus berdiri teguh mengawal sempadan negara kerana tiada kompromi dalam hal-hal yang melibatkan kedaulatan negara.
“Oleh sebab itu ATM meningkatkan kesiapsiagaan bagi memastikan keselamatan sempadan negara berada pada tahap terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Terdahulu beliau meluangkan masa turun padang bagi meninjau penugasan Operasi Benteng oleh anggota ATM di sekitar pangkalan haram Balai Polis dekat Lubok Stol, di sini.
Kawalan sempadan negara di negeri-negeri utara kini dikawal ketat pasukan keselamatan selepas seorang anggota PGA maut ditembak penyeludup dari negara jiran, baru-baru ini.
Ekoran itu, timbul kebimbangan kononnya kumpulan penyeludup berkenaan mungkin beralih arah dan cuba menceroboh sempadan negara menerusi negeri ini pula.
Mengulas lanjut, Zamsari berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama kepada ATM dengan menyalurkan maklumat jika berjaya mengesan aktiviti penyeludupan dan pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI).-UTUSAN ONLINE