KUALA LUMPUR: Bagi menangani cabaran yang dijangka bakal dihadapi rantau ini dalam tempoh 30 tahun, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) perlu memastikan ekonominya berada di hadapan untuk kekal relevan.
Pengarah Unit Sokongan Dasar APEC, Dr. Denis Hew berkata, tumpuan harus diberikan kepada isu-isu lain seperti teknologi digital dan kecerdasan buatan dan bukan hanya melihat kepada masalah penularan pandemik Covid-19.
“Kita mempunyai cabaran demografi dengan masalah penduduk yang semakin berusia yang mendorong kepada pengurangan tenaga buruh dan pertumbuhan ekonomi mampan.
“Banyak ekonomi APEC adalah ekonomi berpendapatan sederhana,” katanya semasa taklimat secara maya berkenaan Analisis Trend Serantau APEC di sini semalam.
Bermula hari ini dan esok, Dialog CEO APEC bakal berlangsung secara dalam talian susulan pandemik Covid-19 dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyempurnakan dialog tersebut.
Antara topik yang akan dibincangkan merangkumi peranan ASEAN terhadap masa depan APEC, pendigitalan terutama membabitkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kesihatan, pengajaran pasca pandemik di seluruh dunia, pertumbuhan masa depan, kepimpinan masa depan, memperkasakan wanita, masa depan perdagangan dan pertumbuhan Asia Pasifik.
Dalam pada itu Hew berkata, terdapat kebimbangan mengenai perangkap pendapatan sederhana dalam kalangan ekonomi APEC, bagaimana masalah itu dapat ditangani dengan menggalakkan inovasi dan melihat kepada kemahiran pekerja untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Katanya, dalam tempoh sekarang, ramai dalam kalangan masyarakat menggunakan pelbagai jenis platform digital untuk kerja, pendidikan dan membeli-belah barangan runcit secara dalam talian.
“Terdapat petunjuk awal kepada pemulihan ekonomi dalam ekonomi APEC, terutamanya mereka yang melaksanakan ekonomi digital,” katanya. – UTUSAN










