PONTIAN: Permintaan tinggi terhadap Cendawan Tiram Kelabu mendorong seorang anak muda menceburi tanaman itu dan berjaya memberikannya hasil pendapatan lumayan sehingga RM7,000 sebulan sejak dimulakan pada 2018.
Muhammad Syazwan Zainal Abidin, 22, selepas mempelajari selama lima bulan tentang kaedah penanaman cendawan itu, dia terus memberanikan diri membuka perusahaan sendiri dengan kos permulaan RM20,000 bagi membina bangsal dan menyediakan bongkah cendawan.
Katanya, sebagai permulaan dia menanam 30,000 bongkah cendawan yang diletakkan di dalam empat bangsal dan perlu mengambil masa tempoh masa selama 45 hari sebelum dapat dipetik.
“Setiap bongkah cendawan mampu mengeluarkan hasil sehingga 40-70 gram atau pengeluaran sehari keseluruhan bongkah antara 15 hingga 30 kilogram (kg).
“Anggaran pendapatan bulanan yang diperoleh ketika ini RM4,000 hingga RM7,000 sebulan iaitu berdasarkan pengeluaran cendawan sebanyak 600KG dalam sebulan,” katanya ketika ditemui di kebunnya terletak di Kampung Lubok Sipat, Benut baru-baru ini.
Mengenai pemasaran cendawan, Muhammad Syazwan memberitahu, sebelum ini dia pernah menghantar ke pasar tetapi tidak mampu dilakukan kerana pengeluaran tidak mencapai 20KG bagi memenuhi permintaan.
“Oleh itu kami menjual terus kepada pemborong yang datang ke ladang dengan harga jualan RM14.00 sekilogram dan kepada individu yang ingin boleh membelinya boleh datang ke sini,” jelasnya.
Oleh itu, memandangkan wujud permintaan yang tinggi ke atas Cendawan Tiram Kelabu berkenaan, dia akan menambah lagi kepada 14,000 bongkah di samping membina dua bangsal baharu sebelum hujung tahun ini. – UTUSAN










