400 hektar hutan paya laut bakal diwarta sebagai hutan simpan kekal - Utusan Malaysia

400 hektar hutan paya laut bakal diwarta sebagai hutan simpan kekal

SALEH Awaluddin menunjukkan pokok bakau yang baharu di tanam di kawasan Pantai Cahaya, Batu 4, Port Dickson di sini hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan telah mengenal pasti kira-kira 400 hektar kawasan hutan paya laut di negeri ini untuk diwartakan sebagai hutan simpan kekal selewat-lewatnya pada tahun hadapan. 

Pengarahnya, Saleh Awaluddin berkata, susulan itu pihaknya menyatakan cadangan tersebut kepada agensi yang berkaitan untuk pengesahan sebelum permohonan itu dibawa kepada kerajaan negeri.

“Pihak jabatan telah mengenal pasti lebih kurang 400 hektar yang berpotensi untuk diwartakan sebagai hutan simpan kekal dan kami berharap tahun hadapan kami dapat mewartakan kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke lokasi penanaman pokok bakau di persisiran Pantai Cahaya, Port Dickson dekat sini hari ini.

Sementara itu, kata beliau, antara kawasan yang dilihat berpotensi untuk diwartakan sebagai hutan simpan kekal ialah sepanjang persisiran Sungai Linggi, Sungai Sepang dan Sungai Lukut di daerah ini. 

“Pewartaan lokasi berkenaan adalah sebagai jaminan agar kawasan hutan paya laut tidak pupus dan untuk pemuliharaan kawasan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Saleh memaklumkan, pihak Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan juga mahu memastikan pemuliharaan kawasan bakau di pesisiran pantai. 

“Jika dahulu ia merupakan kawasan lapang, kami melihat terdapat hakisan tanah di samping terdapat fungsi spesis akuatik seperti ikan dan siput. Ia merupakan cabaran kami dalam memulihara kawasan terbabit.

“Oleh itu, saya rasa peranan fungsi bakau ini banyak dan usaha pihak kerajaan dalam penanaman bakau setakat ini dilihat berjaya,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya