16 penduduk termasuk bayi, wanita hamil dipindah akibat banjir - Utusan Malaysia

16 penduduk termasuk bayi, wanita hamil dipindah akibat banjir

ANGGOTA APM membantu mengeluarkan penduduk termasuk seorang bayi lelaki di Jalan Haji Ehsan, Kampung Parit Mahang, Ijok, yang dilanda banjir, awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Seramai 16 penduduk termasuk seorang bayi lelaki dan wanita hamil di Jalan Haji Ehsan, Kampung Parit Mahang, Ijok di sini dipindahkan selepas rumah mereka dilanda banjir awal pagi tadi.

Pemindahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.30 tengah malam apabila hujan lebat berterusan menenggelamkan kediaman-kediaman penduduk pada ukuran ketinggian 0.6 meter (m).

Semua mangsa daripada tiga buah keluarga itu kemudian ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Parit Mahang.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Selangor, Kapten (PA) Shaiful Azril Zainal berkata, pasukannya dianggotai empat pegawai dan 10 anggota bergegas ke kampung itu bagi membantu mangsa keluar daripada kediaman masing-masing. 

Beliau yang mengetuai operasi berkata, pihaknya menggerakkan semua aset antaranya lori, ambulans dan bot bagi menyelamatkan mangsa.

“Semua mangsa melibatkan lima wanita termasuk yang hamil dan masih berpantang, tiga lelaki dan lima kanak-kanak.

“Turut dipindahkan, dua lelaki masing-masing warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) serta bayi lelaki yang berusia sebulan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, seramai 23 penduduk di Kampung Seri Sentosa dan Kampung Sri Aman dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields di sini berikutan kediaman mereka dinaiki air.

Tambah Shaiful Azril, pelbagai agensi turut sedang menjalankan pemantauan situasi banjir di kampung tersebut.

“Agensi lain terlibat adalah bomba, polis, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Banjir di kampung itu kini masih berada pada paras lutut dan semua mangsa akan ditempatkan di PPS sehingga keadaan pulih sepenuhnya,” katanya.

Mengulas mengenai penduduk di Kampung Seri Sentosa dan Kampung Sri Aman dipindahkan, Shaiful Azril berkata, penduduk kedua-dua kampung itu belum dapat dibenarkan pulang berikutan kawasan rumah mereka masih ditenggelami air sejak kelmarin.

“Hasil pemantauan mendapati paras air di Kampung Seri Sentosa masih setinggi 0.3m dan Kampung Sri Aman sudah sedikit surut,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya