UMP tangguh kemasukan penuntut dari Sabah dan zon merah Covid-19 - Utusan Malaysia

UMP tangguh kemasukan penuntut dari Sabah dan zon merah Covid-19

Yuserrie Zainuddin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) menangguhkan urusan kemasukan penuntutnya dari Sabah dan zon merah Covid-19 secara bersemuka di kampus UMP Pekan dan Gambang yang dijadualkan secara berperingkat bermula 12 Oktober hingga 14 Oktober depan. 

Proses pendaftaran penuntut baharu dilakukan secara dalam talian bermula 5 Oktober hingga 9 Oktober bagi pengaktifan status sebagai penuntut UMP termasuk pengajaran dan pembelajaran.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, universiti itu juga mengambil langkah menangguhkan kemasukan penuntut yang mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah dalam tempoh 14 hari sebelum hari pendaftaran.

“Arahan penangguhan kemasukan penuntut secara fizikal ini meliputi semua peringkat pengajian dan kategori penuntut UMP. Proses pendaftaran penuntut baharu dari Sabah dan zon merah hendaklah dilakukan secara dalam talian dan kembali pulang ke UMP mengikut prosedur sedia ada selepas keadaan kembali pulih bagi negeri Sabah dan zon merah,” katanya di sini hari ini. 

Dr. Yuserrie berkata, kemasukan penuntut baharu dan lama yang bukan dari Sabah dan zon merah adalah kekal seperti dijadualkan dan perlu mematuhi garis panduan ditetapkan.

Katanya, tindakan itu diambil selari dengan kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menyarankan semua institusi pengajian tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran kemasukan penuntut baharu dan lama dari zon merah secara bersemuka yang dijadualkan bermula Oktober ini.

Menurutnya, semua Ketua Pusat Tanggungjawab dan penuntut UMP dinasihatkan berwaspada dalam mencegah risiko penularan wabak Covid-19 di IPT berkenaan dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan mengutamakan langkah-langkah keselamatan.

“Penuntut perlu sentiasa peka terhadap sebarang pemakluman rasmi, mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan dan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari masa ke semasa.

“Dalam pada itu, pelaksanaan Minggu Induksi Siswa (Minds) dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan diteruskan mengikut jadual secara dalam talian mengikut kalender akademik UMP,” katanya.

Beliau berkata, pengurusan UMP sentiasa memantau rapat perkembangan pandemik itu dan memandang serius terhadap laporan peningkatan kes yang berlaku sejak akhir-akhir ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.