BATU PAHAT : Kemunculan ular sawa batik sepanjang enam meter telah mengemparkan penduduk Kampung Parit Arshad, Parit Awang di sini setelah reptilia itu ditemukan di halaman sebuah rumah semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II Khairul Nizam Aresat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.52 petang oleh penduduk yang memaklumkan melihat ular berkenaan.
Katanya lagi, seramai sembilan anggota bersama dua buah jentera kemudian dihantar ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi kemudian menangkap reptilia itu dengan menggunakan alat penjerut. Haiwan itu kemudian berjaya ditangkap tidak lama kemudian.
“Haiwan itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, operasi ditamatkan pada pukul 6.30 petang selepas ular itu berjaya ditangkap.