syarikat telekomunikasi bergabung bina menara pemancar - Utusan Malaysia

syarikat telekomunikasi bergabung bina menara pemancar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Empat buah syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi bergabung membina menara pemancar sementara di Kampung Ladang UP Bahagian Bukit Selambau di sini bagi memberi kemudahan kepada penduduk menikmati capaian internet dengan lebih baik dalam tempoh terdekat.

Jabatan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan semalam berkata, SKMM bersama empat syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama iaitu Celcom, DiGi, Maxis dan U Mobile akan menyediakan liputan internet yang diperlukan di kawasan terbabit.

“Pihak syarikat penyedia perkhidmatan akan mendirikan menara pemancar sementara setinggi 30 meter untuk memberikan liputan internet lebih baik di kawasan terbabit.

“Keempat-empat rangkaian telekomunikasi itu akan dapat diakses oleh penduduk melalui teknologi perkongsian pemancar yang dikenali sebagai Multi-Operator Core Network (MOCN).

“Ini adalah kali pertama penggunaan teknologi MOCN digunakan di Semenanjung yang menggabungkan keempat-empat syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi,” katanya.

Mingguan Malaysia pada 20 September lalu melaporkan setelah sekian lama berhadapan dengan masalah akses internet, penduduk di Ladang UP Bahagian Bukit Selambau mengambil inisiatif membina ‘menara’ telekomunikasi mereka sendiri. 

Kawasan estet kelapa sawit tersebut yang juga dikenali sebagai Kampung Kongsi mempunyai 170 orang penduduk dan terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Sungai Petani.

Tambah kenyataan itu,  penyelesaian itu dicapai hasil beberapa siri lawatan dan perbincangan antara SKMM dan syarikat penyedia perkhidmatan internet dan penduduk, selain turut dibantu Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Wan Romani Wan Salim.

“Kerja penyediaan tapak, pemasangan dan pengaktifan menara sementara ini dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh enam minggu selepas memperoleh kebenaran daripada Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP).

“Syarikat penyedia perkhidmatan kini dalam proses menghantar permohonan kelulusan kepada MPSP,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya