RM27.1j jadikan jalan di Ipoh lebih baik - Utusan Malaysia

RM27.1j jadikan jalan di Ipoh lebih baik

RUMAIZI BAHARIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penduduk di bandar ini bakal menikmati jalan raya yang lebih baik apabila kerja-kerja menaik taraf semula jalan yang dilakukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melibatkan 24 kawasan siap sepenuhnya pada penghujung November nanti.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kerja-kerja tersebut melibatkan laluan sepanjang kira-kira 25.258 kilometer (km) yang dimulakan hari ini oleh pihak kontraktor yang dilantik.

Menurut beliau, pihak konsesi iaitu syarikat Puncak Emas Infra Sdn. Bhd. diberi tanggungjawab melaksanakan kerja-kerja tersebut yang menelan belanja kira-kira RM27.1 juta menerusi peruntukan daripada pihak Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).

“MBI mengambil inisiatif bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf dan menurap jalan ini ekoran aduan daripada orang ramai berkenaan dengan keadaan jalan di sekitar bandar ini.

“Bagaimanapun, kerja-kerja ini nanti akan menyebabkan gangguan lalu lintas dan pihak MBI memohon orang ramai memberikan kerjasama, bersabar serta mematuhi arahan-arahan semasa kerja-kerja dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kerja-kerja menaik taraf ini juga melibatkan kawasan di dalam dan luar bandar Ipoh di mana jalan paling panjang adalah Jalan Sultan Iskandar sepanjang 1.81 km manakala laluan paling singkat ialah di Jalan Ng Soon Teik iaitu 207 meter.

Jelas Rumaizi lagi, menerusi peruntukan yang diterima ini kerja-kerja menaik taraf itu termasuklah melibatkan pembaikan beberapa batang longkang.

Katanya, beberapa batang jalan yang terlibat juga akan ditutup semasa kerja-kerja ini dan laluan alternatif akan disediakan bagi memastikan kelancaran lalu lintas. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya