RFP Monorel Putrajaya akan dibuka 3 bulan lagi - Utusan Malaysia

RFP Monorel Putrajaya akan dibuka 3 bulan lagi

ANNUAR Musa bercakap pada sidang akbar berhubung pengumuman Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Presiden Perbadanan Putrajaya dan menjawab pelbagai isu di Wilayah Persekutuan di Menara Seri Wilayah, di sini, hari ini.-UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pengangkutan akan membuka permintaan untuk cadangan (RFP) secara terbuka kepada mana-mana syarikat berkelayakan bagi membolehkan Projek Monorel Putrajaya diteruskan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya menjangkakan RFP tersebut boleh dibuka kepada penyertaan awam  dalam jangka masa tiga bulan.

Katanya, beberapa syarikat swasta sudah menunjukkan minat terhadap projek itu malah ada yang sudah melakukan sesi pembentangan kepada pihak kementerian sebelum ini.

“Kita berhasrat menjayakan Projek Monorel Putrajaya yang sudah dilaksanakan separuh jalan kerana infrastruktur asas termasuk terowong dan jambatan sudah siap dibina dengan jumlah perbelanjaan agak besar.

“Jadi kita berpandangan Putrajaya memerlukan perkhidmatan pengangkutan awam yang baik dan moden selaras dengan statusnya sebagai pusat pentadbiran negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Projek laluan monorel itu ditangguhkan pada 2004 dan mengikut perancangan asal, Monorel Putrajaya dicadangkan mempunyai dua aliran, satu sepanjang 12 kilometer (km) dengan 17 stesen dan satu lagi sepanjang 6 km dengan enam stesen.

Mengulas mengenai anggaran kos yang diperlukan bagi menjayakan projek tersebut, Annuar berkata, pihak kementerian ingin melihat cadangan kos yang akan dikemukakan oleh setiap wakil syarikat terlebih dahulu.

“Secara kasarnya, biar pihak yang mencadangkan itu mengemukakan kos mereka kerana ada pilihan berbeza daripada sudut teknologi lokomotif yang hendak digunakan.

“Ada pelbagai teknologi yang mereka boleh syorkan, namun, daripada sudut laluan sudah ditetapkan dan terowong sudah dibina. Sekarang ini, kos akan banyak ditentukan daripada kaedah pelaksanaan dan teknologi yang bakal digunakan,” katanya.

Beliau malah menjelaskan projek itu perlu memberi tumpuan kepada kawasan Putrajaya terlebih dahulu termasuk bilangan stesen yang akan ditetapkan sebelum perbincangan mengenai jajaran seterusnya.  

“Kita ada kira-kira sembilan stesen yang akan dibina tetapi tidak semestinya sudah tetap kerana bergantung kepada cadangan yang akan diberikan (RFP), yang dimaksudkan adalah kita wujudkan terlebih dahulu Monorel dalam Kawasan Putrajaya.

“Kementerian Pengangkutan akan mengambil tanggungjawab mengenai tindakan susulan bagi menghubungkan Putrajaya ke Bangi dan Kajang, serta Putrajaya ke Cyberjaya. Rangkaian luar Putrajaya akan dikendalikan oleh kementerian berkenaan, sementara kementerian kita akan menguruskan RFP bagi monorel dalam kawasan Perbadanan Putrajaya,” katanya. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya