JOHOR BAHRU: Sejak melibatkan diri dalam dunia nyanyian kira-kira 30 tahun lalu, penyanyi era 90-an, Aida Agil akui tidak pernah sekali menerima bayaran royalti setiap kali lagunya diputarkan di corong radio.
Malah, pelantun suara yang terkenal dengan lagu Segalanya Pasti itu kini meniti usia emasnya tinggal seorang diri di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang, Jalan Sri Stulang, sejak tahun lalu.
Aida atau nama sebenarnya Aidah Agil, 61, berkata, sejak menghidap penyakit Bell’s Palsy iaitu kelumpuhan muka disebabkan saraf atau otot muka tidak berfungsi pada 2002, dia tidak pernah dimaklumkan mengenai pembayaran royalti.
“Saya tidak tahu bagaimana royalti dikira dan diuruskan. Saya tidak pernah terima apa-apa bayaran melainkan bayaran yang dibuat syarikat rakaman sebanyak RM3,500 selepas album debut diterbitkan.
“Tiada siapa yang membantu menerangkan soal ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di sini semalam.
Dalam kunjungan tersebut, Yang Dipertua Insani Kaseh, Zuraini Tahir atau dikenali sebagai Raymie yang juga vokalis kumpulan Febians menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan kepada Aida.
Sepanjang pertemuan tersebut, gelak tawa Aida mengisi ruang ketika kunjungan Insani Kaseh yang menggerakkan program bantuan edisi Jalinan Kasih Artis Johor 80-an dan 90-an sekali gus keriangan terpancar di wajah penyanyi itu yang menderita Bell’s Palsy selama 16 tahun.
Aida berkata, dia kini bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan yang turut digunakan bagi membayar sewa rumah, bil air dan elektrik.
Dia sebelum ini pernah mengusahakan katering di kantin kilang manakala pada waktu malam keluar mengisi jemputan menyanyi.
“Ketika tender mengusahakan kantin tamat, terus saya tumbang disebabkan penyakit itu. Semakin lama, kesihatan saya semakin teruk dan tidak mampu bergerak, hanya terlantar di katil selama enam bulan.
“Penderitaan akibat penyakit itu yang melarat sampai bertahun-tahun lamanya mula menunjukkan tanda positif dan saya boleh mengurus diri tanpa bantuan orang. Ketika keadaan bertambah baik, pergelangan kaki kiri saya pula patah akibat tergelincir tiga tahun lalu,” katanya.
Hidup anak kedua daripada 11 beradik itu terus diuji apabila dia terpaksa berpindah-randah sekitar 2018 apabila ditipu kontraktor sebanyak RM120,000 bagi kerja baik pulih rumah pusaka yang didiami sejak lahir.
“Sebelum ini saya tinggal dengan adik di Kampung Melayu Majidee. Kami sepakat membaik pulih rumah tersebut, malangnya ditipu kontraktor setelah duit sudah dibayar menyebabkan rumah pusaka itu menjadi rumah terbengkalai.
“Melihatkan kesusahan yang dialami, rakan saya membantu mendapatkan rumah PPR Sri Stulang untuk dijadikan tempat berteduh,” katanya.









