KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) tiada masalah untuk bekerjasama dengan UMNO namun ia bukan individu yang terlibat dengan dakwaan rasuah seperti Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Menegaskan perkara itu, pengasas PKR, Dr. Syed Husin Ali berkata, ia merupakan pegangan PH yang menjadi pengetahuan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membentuk kerajaan baharu tersebut.
“PH memang tidak akan menerima untuk bekerjasama dengan ahli UMNO yang terlibat dengan rasuah dan telah dijatuhkan hukuman seperti Najib.
“Saya tahu itu juga pendirian Datuk Seri Anwar sebagai Presiden PKR,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini Anwar menjelaskan yang beliau mempunyai sokongan yang kukuh dan meyakinkan untuk membentuk kerajaan baharu dengan melibatkan bekas Perdana Menteri iaitu Najib.
Kenyataan Presiden PKR itu juga disambut baik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan beliau tidak akan menghalang mana-mana ahli UMNO yang ingin menyokong kerajaan baharu Anwar.
Bagaimanapun, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika itu berkata pihaknya masih berpegang untuk mengukuhkan Perikatan Nasional (PN), namun kini parti itu mempertimbang keluar daripada PN susulan beberapa kontroversi melibatkan Bersatu di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Namun, rundingan sedang dilakukan bagi menyelamatkan kerajaan PN daripada tumbang.
“Tiada siapa yang melihat senarai nama tersebut selain Anwar, Anwar pun tidak dedahkan senarai nama itu. malah ia tidak dibincang dalam biro politik PKR, hanya pimpinan PH yang terlibat.
“Senarai nama belum keluar, kita tunggu sahaja siapa yang sokong sebenarnya,” ujarnya. – UTUSAN










