Pematuhan SOP rendah:  Polis Selangor beri amaran - Utusan Malaysia

Pematuhan SOP rendah:  Polis Selangor beri amaran

NOOR Azam Jamaludin (kanan) menerima sumbangan vest dan semua kenderaan itu daripada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Shah Alam, hari ini. -UT6USAN/ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis Selangor memberi amaran kepada kepada orang ramai supaya mematuhi  prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 November hadapan.

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, amaran itu diberikan berikutan pihaknya mendapati tahap pematuhan SOP dalam kalangan masyarakat masih rendah.

Pihaknya tidak menafikan pematuhan SOP oleh masyarakat sepanjang tempoh PKPB dua minggu lalu sememangnya ada.

“Namun, masih ada segelintir yang tidak memandang serius mengenai peraturan ditetapkan kerajaan dan lalai untuk mematuhinya biarpun kegagalan mematuhinya boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Oleh demikian, kita memberi amaran supaya orang ramai mematuhi peraturan ditetapkan. Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menahan individu yang mengingkari peraturan.

“Semua pihak perlu bersama-sama membantu mengekang penularan Covid-19 dan pematuhan SOP agar kita semua bebas sepenuhnya daripada pandemik itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir ke majlis Penyerahan Kenderaan dan Barangan bagi Memerangi Covid-19 di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Terdahulu, dalam majlis tersebut, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menyerahkan lapan jet ski dan 17 basikal elektrik kepada polis bagi kegunaan Op Benteng di kawasan pesisiran pantai dan sempadan laut di negeri ini.

Mengulas lanjut berhubung penyerahan jet ski dan basikal, Noor Azam berkata, jentera itu akan digunakan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin (PPM) untuk memantau kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di laluan laut.

“Kita merasakan keperluan untuk semua kenderaan ini kerana terdapat kes tangkapan antaranya di sekitar Sungai Besar, Kuala Selangor dan Kuala Langat.

“Walaupun jumlah kes mungkin tidak banyak, namun kita perlu mengambil langkah pencegahan bagi mengelak penularan pandemik terutama melibatkan PATI,” ujarnya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN