KUALA LUMPUR: Wujud skandal antara sindiket ah long dengan firma guaman tertentu bagi memudahkan proses merampas aset-aset berharga peminjam selepas menandatangani borang perjanjian kosong.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan, para peguam terlibat bertindak sebagai penasihat bagi memastikan proses menukar hak milik aset-aset peminjam berlaku dengan lancar tanpa bertentangan dengan undang-undang.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, jumlah kes berkaitan penipuan ah long yang diterima Unit Banteras Ceti Haram PPIM ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) didapati meningkat sehingga 40 peratus daripada kebiasaan.
“Suruh tandatangan kertas kosong bukan perkara baharu, cara sedemikian sudah lama berlaku. Ada peguam yang bekerjasama dengan sindiket ah long supaya senang nanti hendak pindah milik rumah, kereta dan lain-lain milik mangsa.
“Sejak PKP tambahan pula moratorium tamat pada September lalu, kes yang PPIM terima meningkat sehingga 40 peratus. Lebih teruk sebab mangsa yang terlibat tak berani nak melawan sebab ah long punpakai peguam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, tindakan melulu peminjam ah long menandatangani borang perjanjian kosong tanpa mengetahui butirannya boleh memakan diri.
Akibatnya aset-aset berharga terutama rumah dan tanah tergadai walaupun nilainya lebih tinggi daripada pinjaman.
Nadzim menambah, terdapat juga kes peminjam secara sah memindah aset-aset kepada ah long meskipun menyedari baki hutang tidak setara dengan nilai kereta atau hartanah yang terpaksa dikorbankan.
“Apabila tak dapat bayar, ah long ugut bunuh dan sebagainya. Sebagai penyelesaian mereka terpaksa tukar hak milik aset-aset kepada nama ah long.
“Keadaan sebegini agak sukar kalau dibawa ke mahkamah. Sebab mangsa yang berbuat demikian. Tetapi ada beberapa kes yang kita lawan, menang juga akhirnya. Jadi jangan takut untuk dapatkan hak kembali,” jelasnya. – UTUSAN










