PUTRAJAYA: Pasukan Petugas Khas akan ditubuhkan bagi mengumpul data dan statistik rakyat Johor yang bekerja di Singapura.
Perkara itu dicadangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, khusus membincangkan mengenai kesan pandemik Covid-19 terhadap ekonomi negeri Johor.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, mesyuarat berkenaan turut menyentuh mengenai keperluan membuka semula sempadan Johor dan Singapura, antara lain bagi melonjakkan kembali aktiviti ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, turut dibincangkan, permohonan pembiayaan oleh Kerajaan Negeri Johor bagi menghidupkan semula industri pelancongan susulan penularan wabak Covid-19 yang memberi kesan besar kepada sektor tersebut.
“Perdana Menteri hari ini memulakan tugas dengan mempengerusikan EAC yang diadakan secara sidang video selepas beliau kembali ke pejabat setelah selesai menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari di rumah yang berakhir Jumaat lepas,” katanya di sini hari ini.
Mesyuarat EAC itu disertai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Ia turut disertai Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad serta pegawai-pegawai kanan daripada Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Johor (BPENJ).
Perdana Menteri seterusnya mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membincangkan situasi terkini jangkitan Covid-19 di dalam negara.
Kata kenyataan itu, pelbagai isu dibincangkan termasuk mengenai status jangkitan wabak itu di Sabah dan Lembah Klang, pengukuhan tindakan mengawal penularan jangkitan dan keupayaan semasa kesihatan awam negara.
Jelasnya, kesemua perkara akan diteliti semula dalam Mesyuarat Khas Teknikal Menteri berhubung Perintah Kawalan Pergerakan sebelum diputuskan. -UTUSAN