KUALA LUMPUR: Sebagai komponen sah dalam Perikatan Nasional (PN) yang mendukung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), gesaan Pas agar diberikan jawatan dalam Kabinet Sabah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik ada meritnya.
Ini kerana, salah satu tujuan tersurat mengapa Perlembagaan negeri itu memperuntukkan tambahan enam ADUN adalah untuk memberi peluang kepada parti yang memerintah melantik wakil kepada kelompok yang tersisih atau tidak sehaluan dengan kerajaan negeri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, geostrategis, Azmi Hassan menjelaskan, permintaan Pas adalah berasaskan faktor politik iaitu sebahagian daripada GRS tetapi tidak diberi peluang untuk bertanding.
Beliau berkata, sememangnya permintaan Pas ada asasnya kerana tujuan tersirat peruntukan itu adalah sebagai balasan terima kasih GRS kepada Pas yang dilihat akur meskipun tidak diberikan waima satu kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.
“Dalam hal ini juga, jawatan ADUN diperlukan Pas untuk beri khidmat kepada penyokongnya. Ada merit sebenarnya permintaan kumpulan Cina dan Pas.
“Jika diletak dalam keadaan ekstrem iaitu kerajaan negeri terpaksa buat keputusan sama ada pilih ADUN wakil Cina atau Pas kerana hanya ada satu kekosongan, maka saya berpendapat Pas wajar diberi peluang kerana mereka tiada wakil. Mereka sudah beri kerjasama penuh kepada GRS semasa kempen,” katanya ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa parti itu berhak mendapat tempat dalam Kabinet Sabah atau Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana ia sudahpun dipersetujui di peringkat awal oleh GRS.
Barisan Nasional (BN) turut mencadangkan perkara sama kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk mengukuhkan lagi permuafakatan antara parti.
Bagaimanapun, ADUN Kapayan (DAP), Jannie Lasimbang mendakwa, Pas adalah parti yang tidak terbuka terhadap kepercayaan lain dan hal itu akan menganggu keharmonian agama dan kaum.
Mengulas perkara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, persoalan mengenai ketidaksesuaian yang dilontarkan oleh beberapa ahli politik sepatutnya dilihat dalam konteks yang lebih luas.
Katanya, ini kerana dengan pelantikan berkenaan, ia sebenarnya tidak menjejaskan langsung mana-mana parti lain atau etnik di Sabah.
“Malah ia akan memperkukuhkan, dapat memberikan satu impak baru dalam pentadbiran dan perkembangan politik di Sabah.
“Adalah baik sekiranya Pas dilantik sebagai salah satu ADUN lantikan dalam kerajaan Sabah kerana atas tiket PN malah Pas juga memiliki ahli di negeri itu,” jelasnya. – UTUSAN










