Orang tengah punca benih padi tidak cukup - Utusan Malaysia

Orang tengah punca benih padi tidak cukup

Benih padi berkualiti membolehkan petani menikmati hasil yang lebih baik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Angkara orang tengah.

Demikian keluhan pesawah di negeri ini yang berdepan masalah kekurangan bekalan benih padi selain harga tidak menentu setiap kali menjelang musim menanam padi.

Mereka mendakwa, masalah tersebut berlaku dipercayai berpunca daripada tindakan orang tengah yang ingin mengaut keuntungan daripada kesempitan hidup pesawah.

Pesawah, Husin Yakob, 56, dari Kampung Matang Mahang, Air Hitam berkata, petani difahamkan harga benih padi dari kilang adalah kira-kira RM28 bagi setiap 20 kilogram.

Bagaimanapun katanya, pesawah terpaksa membeli benih padi pada harga RM35 hingga RM65, tidak termasuk kos pengangkutan terutamanya ketika bekalan berkurangan di pasaran.

“Pesawah terpaksa membeli benih padi itu walaupun mahal selepas tapak sawah mereka sudah dibajak untuk kerja-kerja menabur benih. Pembekal memberi alasan bekalan benih padi kurang di pasaran dan mereka terpaksa menaikkan harga.

“Kami sangat kecewa kerana masalah itu sering kali berlaku tetapi tiada jalan penyelesaian dilakukan pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Seorang lagi pesawah, Jamaludin Mahmud, 64, dari Kampung Alor Berhala, Mukim Tobiar, Pendang berkata, kebiasaannya orang tengah itu membabitkan pemilik lori yang mengambil padi dari pesawah sebelum dijual ke kilang.

“Malah kebanyakan benih padi yang dijual lebih mahal itu tidak berkualiti seperti dijanjikan,” katanya.

Tambahnya, keadaan tersebut menyebabkan ramai dalam kalangan petani mengeluh dengan benih padi yang tidak berkualiti sehingga menyebabkan hasil tanaman berkurangan.

Pesawah, Abdullah Harun, 55, dari Kampung Telaga Emas, Pokok Sena di sini pula berkata, jadual pengairan yang dikeluarkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang tidak selaras dengan jadual penanaman ditetapkan Jabatan Pertanian juga mengelirukan pesawah.

“Keadaan ini menyebabkan pesawah menghadapi kesukaran menetapkan masa yang sesuai untuk membeli benih padi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN