Minyak mentah keluar dari tanah - Utusan Malaysia

Minyak mentah keluar dari tanah

S. Veerapan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S. Veerapan

PORT DICKSON: Kejadian limpahan minyak mentah keluar dari tanah di Kampung Gelam dekat sini pada awalnya disangka perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sisa minyak ke dalam parit.

Seorang nelayan, Mat Isa Mat Hasan, 64, berkata, kira-kira pukul 2 petang semalam, dia ke pantai berhampiran Pengkalan Nelayan Kampung Gelam untuk menjala ikan namun hasratnya terbantut apabila melihat terdapat kesan minyak berwarna hitam di pantai.

“Saya teliti dan saya tengok banyak minyak, masa itu saya marah betul kerana fikirkan ada orang yang membuang sisa minyak di sini. Saya naik dan menyusuri parit dan tiba di sini dan perhatikan minyak mentah keluar laju.

“Saya kemudiannya membuat laporan kepada Tenaga Nasional Berhad kira-kira pukul 3.30 petang. Pada masa itu minyak terus keluar malah kaki saya juga terbenam dengan minyak sahaja di kawasan tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Kejadian iotu dikesan di Kilometer 1, Jalan Seremban dekat sini berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gelam sejak petang semalam yang turut mencemarkan longkang dan parit dan mengalir ke pantai yang terletak berhampiran.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar Negeri Sembilan, S. Veerapan dalam kenyataan berkata, tumpahan minyak itu ditemui orang awam kira-kira pukul 2 petang kelmarin.

“Sebagai langkah awal, ‘oil boom’ telah dipasang di beberapa lokasi untuk mengawal pencemaran minyak daripada mengalir hingga ke laut,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pengkalan Nelayan Kampung Gelam, Hussain Ismail, 52, berkata, dia berharap kerja-kerja mengenal pasti punca dan pembersihan limpahan minyak tersebut dapat diselesaikan segera.

“Saya tahu, kalau kejadian berlaku macam ini, seminggu pun belum tentu boleh pulih. Tetapi minyak ini jika masuk ke laut akan melekat ke tiang dan batu, kesannya juga akan kena batu karang jadi habitat ikan akan hilang.

“Mungkin kesannya lebih lama daripada itu, tiga atau empat bulan, ini akan menyebabkan sumber nelayan terjejas. Saya harap masalah itu dapat diselesaikan secepat mungkin, yang lebih penting pihak berwajib kena pastikan limpahan minyak ini tidak terus dan sampai ke laut,” katanya.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Port Dickson, Mohd. Zulkifli Mohd. Taib, 53, pula berkata, susulan kejadian limpahan minyak mentah tersebut, pihak terkesan tentulah nelayan yang mencari rezeki di kawasan laut yang terletak berdekatan.

“Ikan pun sama seperti manusia yang akan keluar dari kawasan kotor dan pergi ke tempat lain manakala sisa-sisa kimia pada minyak itu akan menyebabkan benih ikan turut mati,” katanya. – UTUSAN

AHLI Dewan Undangan Negeri Sri Tanjung, Datuk M. Ravi meninjau kawasan tumpahan minyak yang berlaku di Kilometer 1, Jalan Seremban berhampiran Sekolah Kebangsaan Kampung Gelam, Port Dickson.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN