KUALA LUMPUR: Di sebalik arahan bekerja dari rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pekerja turut bimbang mereka tidak dapat melaksanakan kerja dengan baik sekiranya talian internet sukar dicapai.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, masalah seperti itu akan menjadi halangan kepada pekerja dalam melaksanakan tugas mereka dengan berkesan.
Langkah bekerja di rumah katanya, mungkin dilihat sebagai langkah berkesan mengekang penularan wabak Covid-19 selain dapat memupuk sikap disiplin tinggi dalam kalangan pekerja.
“Bagaimanapun terdapat halangan bagi segelintir pekerja apabila mereka terpaksa beroperasi dalam keadaan prasarana tidak lengkap seperti kemudahan internet dan beberapa peralatan lain sekali gus boleh menjejaskan produktiviti kerja,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, mungkin juga akan berlaku majikan beranggapan pekerja tidak membuat kerja atau tidak diberi tugasan tertentu.
“Kita masih gusar untuk menerima kaedah bekerja dari rumah kerana prasangka terhadap pekerja, jadi sudah tiba masanya untuk majikan menganggap bekerja dari rumah ini sebagai satu profesion dan menggalakkan petugas menggunakan pendekatan teknologi maklumat dan bukannya produktiviti di pejabat semata-mata.
“Bukan kita tidak mahu menerima kaedah bekerja dari rumah cuma masalahnya, pegawai-pegawai besar di syarikat mereka sendiri tidak mempelajari atau meningkatkan pemahaman teknologi.
“Mereka bersifat ‘old school’ dan berfikir bekerja di rumah tidak berdisiplin, kerja tidak siap sedangkan ini adalah perkara yang subjektif malah majikan tidak menganggap kerja itu sebagai satu tugasan sebaliknya ‘mesti hadir di tempat kerja’,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Halim melihat keberkesanan bekerja di rumah sebagai satu anjakan paradigma kerana sepanjang lapan bulan PKP berjalan, beliau tidak menerima sebarang aduan berkenaan permasalahan kerja di rumah.
“Adapun aduan yang timbul hanyalah rungutan berkaitan pembayaran elaun yang tidak diperoleh pekerja.
“Saya boleh katakan 100 peratus tiada pertikaian untuk pekerja bekerja di rumah cuma masalahnya apabila ada syarikat tidak mahu mengambil pendekatan seperti ini,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, tidak semua tugasan boleh diselesaikan di rumah kerana ada sesetengah pekerjaan yang menuntut mereka untuk berada di lapangan kerja sebenar.
“Majikan perlu menentukan skop dan fungsi tugasan yang diberi. Kalau tugasan itu memerlukan seseorang untuk berurusan dengan orang awam agak sukar juga. Jadi kena lihat fungsi sesuatu jabatan dan tugasan pada setiap pekerja,” katanya. – UTUSAN










