Lindungi kes Macau Scam: 11 pegawai kanan polis diambil keterangan - Utusan Malaysia

Lindungi kes Macau Scam: 11 pegawai kanan polis diambil keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengesahkan telah memanggil 11 pegawai kanan polis bagi membantu siasatan berhubung sindiket penipuan Macau Scam dan perjudian atas talian.

Difahamkan, pegawai tersebut bertugas di sebuah jabatan di Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini.

Menurut sumber, setakat ini, lima Ketua Polis Daerah (KPD) serta pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah serta seorang pegawai di sebuah jabatan di Bukit Aman sedang dirakam percakapan untuk siasatan lanjut berhubung kes tersebut.

“Bagaimanapun, tiada tangkapan setakat ini. SPRM juga sehingga kini telah membekukan sebanyak 736 akaun dengan jumlah sitaan kira-kira RM101 juta.

“Sehingga kini, sebanyak 39 saksi telah dirakam percakapan manakala 19 orang ditahan. Daripada jumlah 19 yang ditahan, sembilan masih direman,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambah sumber, dua suspek utama kes tersebut akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi disambung reman esok.

Jelasnya, SPRM kini mengesan saki-baki sindiket ini terutama agensi penguatkuasaan yang terlibat.

“Fasa seterusnya ialah memberi fokus kepada individu atau syarikat yang telah dikenalpasti terlibat dalam pengubahan wang haram,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki kelmarin mendedahkan sebanyak 730 akaun bank bernilai RM80 juta milik ahli sindiket yang ditahan termasuk selebriti serta menyita 24 kenderaan mewah selepas lapan individu direman bagi membantu siasatan.

Turut didedahkan adalah penangkapan lapan pegawai dan anggota PDRM berusia 30 hingga 57 tahun berpangkat Asisten Komisioner, Superintenden, Deputi Superintenden, Inspektor, Sarjan dan Koperal dipercayai melindungi kegiatan itu.

Ini susulan hasil tangkapan 11 rakyat tempatan dan seorang warga China yang direman pihaknya dipercayai terlibat dengan penipuan Macau Scam dan judi atas talian hingga menyebabkan rakyat Malaysia kerugian jutaan ringgit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN