Keluarga Syed dalang sindiket dadah - Utusan Malaysia

Keluarga Syed dalang sindiket dadah

AYOB Khan Mydin menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dari kumpulan Syed pada sidang akhbar di IPK Johor disini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Siapa sangka sebuah keluarga yang kelihatan normal terdiri daripada ibu bapa, tiga anak serta dua menantu sebenarnya merupakan sindiket dadah yang bergiat aktif di negeri ini sejak tahun lalu. 

Kegiatan jenayah diketuai lelaki berusia 64 tahun itu terbongkar selepas polis menahan tujuh individu berusia antara 35 hingga 64 tahun dalam empat serbuan berasingan di sini hari ini. 

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya turut merampas 109 kilogram (KG) ganja dianggarkan bernilai RM272,500. 

“Berdasarkan maklumat diperoleh menerusi beberapa serbuan dan tangkapan dibuat sejak Mei 2020, polis telah menjalankan empat serbuan sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri melibatkan sindiket dadah dikenali sebagai Geng Syed pada pukul 7 pagi. 

“Dalam operasi ini, tujuh orang ditahan yang mana kesemuanya merupakan ahli keluarga membabitkan empat lelaki tempatan, dua wanita tempatan serta seorang wanita warga Thailand,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini. 

Menurut Ayob Khan lagi, dalam serbuan itu, polis turut menyita lima kereta, tiga motosikal, pelbagai barangan kemas serta wang tunai dianggarkan bernilai RM486,340. 

“Hasil ujian air kencing dijalankan mendapati seorang suspek positif dadah manakala dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah. 

“Kesemua suspek yang ditahan akan dikenakan reman untuk siasatan lanjut bermula esok,” ujarnya. 

Sementara itu, Ayob Khan turut memaklumkan, sejak 1 Januari hingga 30 September tahun ini, polis Johor telah menahan seramai 14,886 suspek atas pelbagai kesalahan dadah. 

“Jumlah ini turut membabitkan rampasan dadah seberat 2,164.28 kilogram dengan anggaran nilai RM25.76 juta, manakala barangan disita dianggarkan bernilai RM12.45 juta. 

“Sehubungan itu, polis Johor berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di kawasan mereka,” tambahnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya