ARAU: Meskipun sudah banyak kali isu benih padi tidak berkualiti dibangkitkan, masalah tersebut tidak pernah selesai yang akhirnya mengundang derita kepada golongan terbabit kerana terpaksa menanggung kerugian saban tahun.
Rata-rata pesawah mengeluh dan mengadu penat setiap kali musim menuai, hasil padi merosot sehingga 50 peratus disebabkan masalah benih padi tidak berkualiti selain kelewatan dan kekurangan bekalan tersebut.
Seorang pesawah, Uda Yussof, 73, berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hasil padi di kawasan seluas hampir satu hektar yang diusahakannya di Guar Sanji, di sini merosot sehingga 50 peratus berikutan masalah bekalan benih tidak berkualiti.
Katanya, sepatutnya dia mampu menjana pendapatan RM7,000 namun hasil yang merosot menyebabkannya hanya mampu mendapat sekitar RM3,000.
“Para pesawah kadangkala letih apabila masalah sama berlarutan saban tahun. Kadangkala hasil tanaman baik, kadangkala merosot sehingga 50 hingga 70 peratus. Disebabkan padi benih tidak berkualiti, pertumbuhan padi terbantut.
“Saya sangat berharap pihak bertanggungjawab dapat menyelesaikan masalah padi benih ini. Kalau boleh, bekalkan padi benih berkualiti dan tidak lambat,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan ekoran benih padi tidak berkualiti yang dibekalkan oleh syarikat-syarikat pembekal menyebabkan hasil beras negara merosot kira-kira 300,000 tan metrik setahun dengan kerugian para pesawah pula dianggarkan mencecah sehingga RM300 juta.
Seorang lagi pesawah, Mohd. Khairul Arshad,40, yang turut mengalami kerugian ribuan ringgit selepas lebih 50 peratus hasil padi yang diusahakan di kawasan seluas kira-kira 16 hektar itu rosak, berharap kerajaan segera mengambil tindakan menyelesaikan isu tersebut.
Malah, dia menjangkakan masalah sama berulang musim ini, selepas benih padi sehingga kini belum diperoleh.
“Dalam masa sama, isu kelewatan juga menyebabkan jadual penanaman padi berterabur sekali gus memberi kesan kepada tanaman. Tambahan selepas ini, kita terpaksa berhadapan musim kemarau,” katanya.
Saifullah Abi Jamrah, 35, pula berkata, setiap kali musim menuai, hasil yang diperolehnya merosot sehingga separuh daripada pendapatan sepatutnya menyebabkan hasratnya membeli sesuatu daripada wang hasil padi itu terbantut.
“Sekarang bukan masa lagi kerajaan mengkaji itu dan ini, sebaliknya salur terus benih berkualiti kepada para petani. Tidak perlu lagi bekal kepada kilang-kilang pembekal yang dilihat sudah gagal memainkan peranan dengan baik.
“Sudah 13 tahun syarikat-syarikat pembekal benih ini diberi tanggungjawab namun mereka gagal menyediakan benih berkualiti. Yang menerima akibat adalah petani, kami sudah letih dengan masalah ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abd. Jalil menggesa kerajaan khususnya Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memulakan inisiatif mewujudkan blok pengeluaran benih padi sendiri di setiap zon atau kawasan lembaga berkenaan.
Sebagai contoh, katanya, inisiatif itu sudah dilaksanakan di negara pengeluar padi seperti Thailand serta Vietnam dan langkah tersebut dilihat cukup berjaya. – UTUSAN










