KUALA LUMPUR: Jika usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘dibelakangkan’ dalam persidangan Dewan Rakyat bagi memberi keutamaan kepada urusan kerajaan, beliau tetap berdepan situasi sama semasa pembentangan Belanjawan 2021 yang dijadualkan berlangsung minggu depan.
Pakar Perlembagaan, Prof. Datuk Salleh Buang berkata, adalah wajar dan masuk akal untuk usul undi tidak percaya dibentangkan sebelum Belanjawan 2021 kerana pada peringkat ini sudah dapat membuktikan sama ada Perdana Menteri benar-benar mendapat sokongan wakil rakyat atau sebaliknya.
“Kalau ikut logik, usul undi tidak percaya dulu dibentangkan, kalau tidak macam mana nak tahu sama ada Perdana Menteri ada sokongan majoriti atau tidak ?
“Sekiranya usul ini dibahas, mahu tidak mahu, beliau tetap akan berdepan dengan undi tidak percaya semasa pembentangan Belanjawan 2021,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Sidang Dewan Rakyat dijadualkan berlangsung selama 27 hari bermula 2 November ini sehingga 15 Disember 2020.
Difahamkan sebanyak 27 usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin telah diterima manakala dua usul undi percaya juga dikemukakan.
Bagaimanapun, daripada 27 usul yang diperoleh, terdapat dua undi undi tidak percaya daripada dua ahli Parlimen sama dan bertindih yang menjadikan keseluruhan usul diterima adalah 25 usul.
Usul tersebut merujuk kepada Buku Aturan Urusan Mesyuarat yang dikeluarkan Parlimen semalam dan semua ahli Parlimen mendapat salinan usul tersebut yang menjadi kebiasaan sebelum persidangan Dewan Rakyat bermula
Mengulas lanjut, Salleh berharap agar persidangan itu tidak dibatalkan atau ditangguhkan walaupun di tengah penularan Covid-19 kerana usul itu dilihat sebagai langkah terakhir membuktikan sokongan yang diperoleh Muhyiddin untuk terus kekal menerajui kerajaan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam masa tiga tahun lagi.
Enggan mencetus spekulasi atau andaian tentang situasi yang akan berlaku pada hari pertama persidangan itu, Salleh mengambil langkah optimis dan menyerahkan tanggungjawab kepada Speaker Dewan, Datuk Azhar Azizan Harun dalam membuat keputusan adil dan saksama.
“Kita bersangka baiklah agar prosesnya berjalan mengikut aturan yang betul. Kita harap beliau akan bersikap neutral dan dalam soal ini dia tak boleh berpihak pada sesiapa.
“Agong sudah bertitah tiga kali dan ini kali terakhir Agong menyeru ahli politik menghentikan kemelut politik dan bekerjasama luluskan bajet, jadi ikut kena ikutlah,” katanya. – UTUSAN










