KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah mempersoalkan tindakan segelintir netizen yang mengaitkan namanya sebagai salah seorang artis yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes penipuan Macau Scam serta judi dalam talian.
Tegas Bella, dia tidak tahu menahu tentang kes tersebut sekali gus menafikan dirinya terlibat dan dipanggil SPRM seperti yang digembar-gemburkan oleh warganet.
“Tidak tahu macam mana nama saya boleh terpalit. Saya tidak tahu dan tidak terlibat dalam kes pengubahan wang haram. Malah, pelik juga. Kalau hendak kata saya menayang kekayaan di media sosial, rasanya tidak.
“Kalau saya kaya, tak jual laksa siang malam, saya tak ambil tawaran berlakon, lebih baik saya beli-belah, bercuti dan menghabiskan wang sahaja. Pelik sungguh!” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nama penyanyi lagu Tenang itu dikaitkan dengan kes tersebut apabila seramai 10 artis termasuk instafamous dipercayai akan dipanggil bagi membantu siasatan tersebut.
Sementara itu, penyampai radio Hot FM, Shuk Sahar, 34, mengaku berada di pekarangan bangunan SPRM baru-baru ini.
Namun dia menyerahkan kepada warganet untuk membuat andaian tujuan kehadirannya di bangunan tersebut.
“Memang saya hadir ke sana bersama rakan penyampai, Fizi, namun atas tujuan apa, terpulang kepada anda semua.
“Saya malas nak komen panjang-panjang. Terpulang, mungkin salah orang?” katanya. – UTUSAN









