GEORGETOWN: Ujian saringan Covid-19 membabitkan lebih 300 kakitangan dan penghuni kuarters Penjara Reman Pulau Pinang di sini mendapati 99 peratus daripada mereka negatif virus berkenaan.
Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamed Jusoh Ismail berkata, baki keputusan ujian saringan yang lain masih belum diperoleh, dijangka diketahui selewat-lewatnya esok.
“Mereka mula menjalani ujian saringan Covid-19 sejak Khamis sehingga Sabtu lalu dan setakat ini kami telah terima 99 peratus daripada keputusan tersebut.
“Kesemua mereka negatif virus Covid-19 malah kakitangan penjara yang menjalani ujian saringan kali kedua turut didapati negatif,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Setakat ini, Kluster Penjara Reman Pulau Pinang mencatatkan 399 kes positif Covid-19 dengan satu kematian membabitkan banduan.
Menurut Mohamed Jusoh, bermula semalam, pihak Kementerian Kesihatan membuat ujian darah ke atas semua kakitangan penjara untuk memastikan dan mengesahkan semua mereka bebas Covid-19.
“Tiada penambahan kes membabitkan jangkitan Covid-19 di Penjara Reman Pulau Pinang. Setakat ini banduan yang dijangkiti Covid-19 sedang menerima rawatan serta berada dalam keadaan stabil,” katanya.










