Jawatan Ketua Pengarah JAKIM unik - Utusan Malaysia

Jawatan Ketua Pengarah JAKIM unik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) disifatkan sebagai sangat unik kerana peranannya menyelaras pengurusan hal ehwal Islam di negara ini.

Presiden Persatuan Mantan Pegawai Perkhidmatan Hal Ehwal Islam (MyRio), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, selain daripada perlunya mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas dalam pengurusan hal ehwal Islam, Ketua Pengarah juga perlu mempunyai hubungan yang harmoni dan selari dengan  pihak berkuasa agama di negeri-negeri. 

Beliau berkata, ia sangat penting kerana Ketua Pengarah juga adalah Setiausaha kepada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang berfungsi menasihati urusan hal ehwal Islam kepada Majlis Raja-Raja. 

“Sangat penting ialah Ketua Pengarah perlu mempunyai fikrah yang mantap terhadap fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi dasar dan pegangan umat Islam di negara ini. 

“Kemahiran dalam bahasa Arab atau Inggeris juga adalah diperlukan kerana JAKIM juga mempunyai kepentingan di peringkat global khususnya dalam pengurusan halal dengan badan kerajaan dan swasta serta jaringan dengan institusi-institusi Islam di luar negara dan serantau yang telah terjalin sejak sekian lama,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada 8 Oktober lalu, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Paimuzi Yahya telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sungai Buloh, Selangor kira-kira pukul satu tengah hari.

Unit Komunikasi Korporat JAKIM memaklumkan, Allahyarham, 59, meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan paru-paru.

Dalam pada itu, Mohamad Nordin menambah, bagi meneruskan legasi kecermerlangan JAKIM yang telah diasaskan sejak 1969, pihaknya berkeyakinan bahawa suatu keputusan yang tepat akan dibuat dalam pemilihan Ketua Pengarah yang baharu.

“Jawatan Ketua Pengarah JAKIM pada ketika ini adalah jawatan tertutup bagi Skim Perkhidmatan Hal Ehwal Islam (PHEI) Gred Jusa A.  

“Pastinya semua pihak sedang menanti siapakah bakal penggantinya. Ini kerana, penggantinya kelak akan menentukan kelangsungan pengurusan hal ehwal agama Islam di peringkat Persekutuan,” katanya yang juga bekas Ketua Pengarah JAKIM. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya