BACHOK: Polis sedang menyiasat kemungkinan ibu kepada bayi lapan bulan yang mati dibunuh bapanya di Kampung Sungai Dua, Melawi dekat sini, kelmarin turut bersubahat.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat, berkata wanita berusia 32 tahun itu kini ditahan reman selama seminggu untuk siasatan lanjut.
“Polis tidak menolak kemungkinan wanita itu juga terbabit dalam ajaran sesat seperti suaminya. Sehingga kini wanita berkenaan masih mendapatkan rawatan di hospital.
“Polis juga belum mengambil keterangan pasangan suami isteri berkenaan kerana mereka enggan bercakap,” katanya selepas melawat ke kediaman anggota polis yang mengalami kecederaan ketika mengadakan operasi pematuhan SOP COVID-19 di Kampung Perupok, di sini, hari ini.
Shafien berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, ketika tangkapan suaminya dilakukan baru-baru ini, reaksi wanita itu lebih menyayangi suaminya berbanding kehilangan seorang anak yang sepatutnya masih dalam belaiannya.
Sebelum ini, Wan Mohamad Afiq Wan Roslan, lapan bulan ditemukan mati dalam keadaan menyayat hati termasuk badannya dilumur garam dipercayai dibunuh bapanya yang dikatakan mengalami masalah mental. – UTUSAN ONLINE