Batu Ferringhi kembali sepi, tiada pengunjung dari Lembah Klang - Utusan Malaysia

Batu Ferringhi kembali sepi, tiada pengunjung dari Lembah Klang

Kompleks Huma House di Batu Ferringhi, Pulau Pinang yang lengang sejak awal minggu lalu ekoran gelombang ketiga Covid-19 yang melanda negara. - UTUSAN/ SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang melanda negara kini mula memberi kesan terhadap peniaga-peniaga di sekitar kawasan pantai peranginan di Batu Ferringhi di sini.

Tinjauan di sekitar pantai dan pusat penjaja di Batu Ferringhi mendapati, kawasan tersebut lengang tanpa pengunjung walaupun ketika cuti hujung minggu.

Selain itu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya turut menyebabkan penurunan ketara jumlah pelancong ke pantai peranginan popular itu.

Seorang peniaga di Kompleks Huma House, Batu Ferringhi, R. Bupalan, 69, berkata, jumlah penurunan pelancong berlaku dengan mendadak awal minggu ini selepas kerajaan melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dia yang berniaga di kawasan itu sejak 1975 berkata, minggu ini hasil jualan barangan cenderamata seperti pakaian dan topi mencecah kurang RM50.

“Saya tetap buka kedai kerana ini sahaja punca pendapatan sejak dahulu, lagipun jika barang tidak dipamerkan saya bimbang akan rosak.

“Minggu ini paling kurang pelancong, selalunya cuti hujung minggu pelancong dari Kuala Lumpur paling ramai tetapi kali ini keadaan di sini lengang,” katanya ketika ditemui di Kompleks Huma House Batu Ferringhi di sini semalam.

Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 14 Oktober hingga 27 Oktober ini.

Selain itu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) juga dilaksanakan ke atas Penjara Reman Pulau Pinang dan kuarters kediaman dekat sini berkuat kuasa 15 Oktober lalu.

Menurut Bupalan, pendapatan peniaga kecil sepertinya terjejas sejak Covid-19 melanda dan berharap orang ramai memberi kerjasama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaaan bagi membendung Covid-19.

Seorang pelancong, Hassan Basri, 27, berkata, dia mengambil peluang cuti hujung minggu untuk bercuti di Batu Ferringhi bersama keluarga dengan memastikan SOP pencegahan Covid-19 dipatuhi.

“Sebelum ini walaupun tinggal di Pulau Pinang, saya jarang bercuti di sekitar pantai Batu Ferringhi bersama keluarga.

“Pada masa ini harga bilik hotel juga murah dan berpatutan, suasana juga tidak sesak, jadi saya ambil peluang dengan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN