Apa nasib Muafakat Nasional ? Pas, UMNO berbeza pendirian terhadap Perikatan Nasional. - Utusan Malaysia

Apa nasib Muafakat Nasional ? Pas, UMNO berbeza pendirian terhadap Perikatan Nasional.

ABDUL Hadi Awang (dua dari kanan) dan Ahmad Zahid Hamidi (tiga dari kanan) penggerak kerjasama Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kenyataan Pas untuk terus bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menimbulkan persoalan sejauh mana hubungan kerjasamanya dalam Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO yang mengambil pendekatan berbeza.

Selepas beberapa hari mendiamkan diri, sekutu UMNO dalam MN itu menyifatkan kerajaan PN sekarang perlu diperkasakan dalam usaha untuk menstabilkan negara yang rakyat dan ekonomi sangat terkesan dengan penularan Covid-19.

Malah, pemimpin Pas menyifatkan kepemimpinan MN mahupun PN perlu melakukan sedikit pengorbanan untuk kepentingan bersama dan demi perpaduan Islam.

Pendirian yang diambil Pas ternyata tidak sependapat dengan rakan strategiknya itu yang mengambil pendekatan menongkah arus apabila menimbang untuk menarik semula sokongan mereka terhadap kerajaan sekarang atas alasan mahu mengemukakan syarat-syarat baharu.

Pada masa yang sama, UMNO dijangka mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) esok, bagi membicangkan pendirian parti itu untuk meneruskan hasrat menarik semula sokongan kepada PN selepas mengadakan perbincangan dengan Muhyiddin malam kelmarin.

Dalam kenyataannya semalam, Pas menyifatkan semua parti politik yang diberikan amanah bagi membentuk kerajaan sekarang sepatutnya terus memberi sokongan kepada Muhyiddin untuk terus menerajui pemerintahan tanpa diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan yang menyifatkan sokongan tersebut penting supaya kerajaan dapat berfungsi dengan baik dan efektif apatah lagi negara dan rakyat yang terjejas kesan daripada pandemik Covid-19.

Malah beliau menegaskan, masalah penularan pandemik Covid-19 kini lebih penting untuk ditangani berbanding memikirkan kepentingan politik masing-masing.

“Justeru Pas menyeru parti-parti politik yang diberikan amanah untuk membentuk Kerajaan Baginda (His Majesty’s Government) yang kini dipimpin oleh Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri Malaysia, diberikan sokongan padu tanpa diganggu gugat bagi membolehkan kerajaan ini berfungsi dengan baik dan efektif.

“Jemaah Kabinet yang dianggotai oleh parti-parti Barisan Nasional (BN), PN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Pas dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mestilah bertindak secara kolektif dan bertanggungjawab dengan memberikan keutamaan dan fokus kepada kesejahteraan rakyat, terutama pada era sukar di mana semua pihak berusaha bertungkus lumus bagi menangani penularan semula pandemik Covid-19 serta langkah memulihkan ekonomi negara yang teruk terjejas,” katanya.

Malah kata Takiyuddin, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menggunakan kebijaksanaannya dan langkah berhikmah bagi menyelesaikan sebarang kemelut termasuklah politik, sehingga berjaya membawa kepada ketenangan, keharmonian dan kestabilan dalam negara.

“Pas yakin baginda telah bertindak berdasarkan segala kuasa prerogatif dan budi bicara sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan undang-undang negara atas konsep Raja Berperlembagaan,” katanya.

Selasa lalu, UMNO dalam satu kenyataan menerusi Setiausaha Agungnya mengumumkan parti Melayu itu mempertimbang untuk meninggalkan Perikatan Nasional (PN) serta mendesak Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan bersama Pas dan turut dianggotai Bersatu, didaftarkan sebagai sebuah gabungan politik sah.

Dalam pada itu, di Perlis, Musyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, beliau percaya masalah yang berlaku ketika ini akan dapat diselesaikan secara baik.

“Apabila kita berhadapan dengan musuh yang sama, kenapa perlu bergaduh sesama sendiri sebelum berhadapan dengan musuh itu. Jika ada sedikit perbezaan, apa salahnya kita cari titik persamaan demi perpaduan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali yang senada berkata, penubuhan kerajaan perpaduan pernah dicadangkan Pas sebelum ini, namun berdasarkan situasi semasa, kerajaan sedia ada perlu diperkasa sehingga tiba waktu Parlimen dibubarkan dan mandat diserahkan semula kepada rakyat.

Kerjasama Pas-UMNO dalam MN yang dimeterai dalam himpunan penyatuan ummah pada 14 September 2019 menyaksikan gabungan dua parti Melayu terbesar di negara ini yang sebelum ini membawa perbezaan ideologi masing-masing tetapi dibuktikan dengan kemenangan dalam beberapa Pilihan Raya Kecil di negara ini termasuk Pilihan Raya Negeri Sabah dengan penyertaan Bersatu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN