KUALA LUMPUR: Ketika ahli Parlimen pembangkang mendakwa tidak mempunyai peluang untuk mempercepatkan perbahasan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, mereka sebenarnya mempunyai pilihan untuk memastikan usul tersebut dibahaskan secara bersama di Dewan Rakyat.
Penyandang Kerusi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Shamrahayu Abdul Aziz berkata, ahli Parlimen boleh mencadangkan untuk meminda Perkara 15, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sekali gus memberi peruntukan khusus berkenaan usul undi tidak percaya dalam pindaan baharu kerana buat masa ini, tiada peruntukan yang menyatakan secara jelas berkenaan usul undi tidak percaya terhadap seseorang Perdana Menteri.
Menurutnya, dalam peraturan Perkara 15 (1) peraturan sama menyatakan, pada setiap persidangan, mesyuarat urusan kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain manakala Perkara 15 (2) menjelaskan, urusan kerajaan hendaklah diaturkan mengikut sebagaimana yang baik pada pertimbangan kerajaan dan diberitahu kepada Setiausaha.
“Mungkin ahli Parlimen boleh memikirkan untuk meminda peraturan mesyuarat dan meluluskan peruntukan khusus (undi tidak percaya). Oleh kerana mereka yang buat peraturan mesyuarat ini, jadi mereka juga boleh pinda.
“Selain itu, mereka juga boleh untuk tidak meluluskan sebarang rang undang-undang yang diperkenalkan kerajaan, dengan itu, tidak perlulah meminda peraturan mesyuarat. Malah, pindaan ini dilihat tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 62 yang menyatakan ahli Parlimen berhak untuk mengurus sendiri tatacaranya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Beliau berkata demikian di tengah-tengah keputusan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini, yang mahu usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibahaskan di Dewan Rakyat. Sidang Dewan Rakyat dijangka bermula pada 2 November akan datang.
Tindakan menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu bertambah serius apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir dan penyokongnya memfailkan usul tidak percaya sekali lagi terhadap Muhyiddin setelah gagal mengemukakan usul tersebut sebelum ini kerana urusan kerajaan diutamakan.
Semalam, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah mengemukakan usul sama untuk menumbangkan kepemimpinan Muhyiddin dan disusuli Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Shahruddin Md. Salleh.
Menjawab pertanyaan sama ada jumlah tertentu diperlukan untuk membahaskan usul undi tidak percaya, Shamrahayu berkata, tiada kuota ditetapkan bagi membolehkan sesuatu usul itu dibahaskan.
“Tiada syarat atau jumlah tertentu ahli Parlimen yang mengusulkannya. Tetapi, adalah memadai sekiranya ramai ahli dewan yang ingin membawa usul tersebut, boleh saja kumpul dan usulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri,” katanya.

Isu kuota bagi membolehkan usul dibahaskan turut dipersetujui oleh Prof. Datuk Salleh Buang bagaimanapun, beliau menyatakan mana-mana individu yang ingin mengemukakan usul undi tidak percaya itu perlu mempunyai keyakinan dan sokongan bahawa usul yang dicadangkannya akan berjaya.
“Jadi, mereka perlu bersedia dengan mempunyai sokongan ahli Parlimen yang lain. Kalau tidak, buang masa saja,” katanya. – UTUSAN









