3 syor jika mahu pilihan raya diadakan - Utusan Malaysia

3 syor jika mahu pilihan raya diadakan

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mencadangkan sebarang pilihan raya tidak diadakan pada masa ini berikutan peningkatan kes penularan Covid-19 yang boleh merisikokan kesihatan rakyat.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jika tiada kuasa yang boleh menghalang pilihan raya untuk dibatalkan, beliau mengesyorkan tiga perkara yang perlu diikuti sebagai syarat sebelum ia diadakan sebagai usaha terbaik menyekat jangkitan wabak itu.

Katanya, perkara pertama ialah tidak ada pergerakan merentas daerah atau negeri dibenarkan untuk tujuan mengundi, tiada perhimpunan ramai diadakan bagi melaksanakan kempen selain tidak ada kunjungan dari rumah ke rumah.

“Tiga prinsip ini boleh membantu mengurangkan jangkitan dalam komuniti. Tetapi, apa yang penting ialah untuk kita sama-sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya, ia tidak akan bermakna jika tidak ada kepatuhan SOP,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Noor Hisham menjelaskan, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] telah dicadangkan untuk dipinda sejak awal penularan pandemik Covid-19 melanda negara bagi membolehkan lebih banyak punca kuasa diberikan kepada Kementerian Kesihatan.

Katanya, ini termasuk membolehkan kementerian menghalang pilihan raya diadakan termasuk perkara-perkara lain memandangkan akta berkenaan digubal 32 tahun lalu yang mana situasi penyakit berjangkit pada masa itu hanya melibatkan lokaliti tertentu. 

“Perancangan pindaan ini telah dihantar kepada Peguam Negara dan kita berharap ia boleh dilaksanakan secepat mungkin. Ketika ini penyakit berjangkit Covid-19 ini sudah melanda seluruh negara malah dunia dan kita perlu menggubal akta ini bagi memperkukuhkannya untuk digunakan pada masa depan,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya