2 individu ditipu mahu pinjam RM15,000 menerusi online - Utusan Malaysia

2 individu ditipu mahu pinjam RM15,000 menerusi online

NOORZAINY MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang pemandu Grab warga emas kerugian lebih RM10,000 selepas dipercayai diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud menerusi media sosial semalam.

Mangsa lelaki berusia 63 tahun dari Bayan Lepas dekat sini itu terjerat dalam penipuan tersebut selepas melihat iklan pinjaman wang berlesen di Facebook baru-baru ini kononnya dibuat oleh pihak bank.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa telah meninggalkan maklumat peribadinya dan berminat membuat pinjaman sebanyak RM15,000.

“Dia yang dihubungi seorang lelaki yang mendakwa ejen bank diminta membuat bayaran proses dan pengaktifan akaun terlebih dahulu.

“Tanpa berfikir panjang, mangsa memasukkan wang menerusi empat transaksi ke dalam tiga akaun bank yang kesemuanya berjumlah RM10,360 kepada suspek,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa bagaimanapun menyedari ditipu selepas menghubungi pihak bank namun dimaklumkan tidak pernah mengiklankan sebarang tawaran pinjaman melalui media sosial.

Dalam perkembangan berbeza, Noorzainy berkata, seorang kerani wanita di Kepala Batas di sini rugi RM3,050 selepas turut terjerat dalam sindiket pinjaman wang ketika mahu membuat pinjaman sebanyak RM15,000.

“Mangsa berusia 31 tahun melihat iklan  kononnya peminjam wang berlesen ketika membuat carian di aplikasi Google dan berhubung dengan seorang ejen wanita yang menawarkan pinjaman peribadi mudah lulus.

“Dia membuat dua transaksi pembayaran ke dalam dua akaun sebelum sedar ditipu selepas ejen itu berterusan meminta wang,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya