fbpx

Warga asing syukur berkongsi rezeki di Malaysia

WARGA asing mengambil peluang beriadah di sekitar ibu kota sempena cuti umum Hari Malaysia semalam.
  • Oleh INTAN SUHANA CHE OMAR
  • 17 September 2020, 8:52 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keamanan dan kemakmuran bumi Malaysia turut dinikmati golongan pekerja warga asing yang melahirkan rasa syukur dapat berkongsi rezeki di sini.

Rata-rata mereka menyifatkan Malaysia sebagai ‘syurga’ yang memberi peluang kehidupan kedua serta keluarga di kampung halaman.

Seorang warga asing, Nanda Kumar, 34, berkata, dia gembira kerana membuat keputusan tepat untuk berhijrah ke negara ini sejak tujuh tahun lalu.

Malaysia katanya, bukan sahaja mempunyai ekonomi yang lebih baik, malah rakyatnya juga bersikap terbuka berkongsi rezeki dengan warga luar.

“Banyak peluang pekerjaan di sini dan gaji juga sangat bagus membuatkan saya rasa sangat gembira dan bersyukur.

“Di sini juga dapat hidup dengan bebas dan tenteram. Tidak perlu takut untuk keluar,” katanya yang berasal dari Dhankuta, Nepal.

Seorang lagi warga asing, Andika Agus Nova Putra Lesmana, 30, menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang tinggi toleransi.

“Saya bersyukur dapat mencari rezeki di sini dalam keadaan harmoni, selesa dan rakyatnya juga kebanyakannya peramah.

“Dengan rezeki yang ada ini dapatlah saya membantu keluarga di kampung,” ujar warga Indonesia itu.

Sementara itu, Manindra Chemjong, 29, mengakui walaupun seringkali dihimpit ke­rinduan terhadap anak dan isteri yang ditinggalkan di Nepal, ia menjadi penguat semangat kepadanya untuk mencari lebih banyak rezeki.

Dia bersyukur kerana Malaysia tidak mendiskriminasi warga asing dan membenarkan kami bekerja dalam pelbagai sektor.

“Saya tiada masalah tinggal di sini kerana tiada tekanan bekerja di negara ini. Peluang pekerjaan sentiasa ada, saya hanya perlu rajin berusaha,” jelasnya. – UTUSAN