Tugas Kementerian Kesihatan cari dana baiki hospital daif - Utusan Malaysia

Tugas Kementerian Kesihatan cari dana baiki hospital daif

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kerja Raya memaklumkan jawatan kuasa kerja yang ditubuhkan sebelum ini bagi mengatasi masalah hospital usang sudah mengenal pasti masalah dan tindakan segera yang perlu diambil.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah seterusnya adalah terletak kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mencari dana bagi menyelesaikan isu yang memerlukan peruntukan besar daripada pihak kerajaan.

Katanya, penambahbaikan hospital usang itu akan diberikan keutamaan bergantung kepada peruntukan yang diterima nanti.

“Sekarang ini di peringkat Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan dana daripada Kementerian Kewangan dan KKM perlu mengemukakan permohonan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kerana memerlukan peruntukan besar untuk menyelesaikan keseluruhan masalah hospital usang tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi libat urus penggiat industri pembinaan di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menerusi sesi libat urus itu, Fadillah dan Mustapa bersetuju supaya satu jawatankuasa tertinggi ditubuhkan bagi mengumpulkan cadangan, mengenal pasti masalah serta kekangan yang dihadapi oleh industri pembinaan selepas pandemik Covid-19.

Platform berterusan seperti itu dilihat penting supaya isu seperti peraturan berbeza antara pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri, kehilangan penggajian dan upah pekerja serta kemerosotan penggunaan bahan binaan dapat diatasi.  

Semalam, KKM memberitahu akan mewujudkan jawatankuasa khas untuk menilai keadaan hospital-hospital kerajaan yang daif dan usang, seterusnya mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan kepada kerajaan.

Utusan Malaysia pada Julai lalu mendedahkan sekurang-kurangnya 46 hospital berusia lebih 50 tahun di seluruh negara dikenal pasti sebagai daif dan ‘uzur’ yang berisiko jika berlaku kejadian tidak diingini terutama kebakaran.

Mengulas mengenai masalah hospital usang itu sama ada dapat diselesaikan pada hujung tahun ini, kata Fadillah, bergantung kepada peruntukan yang akan diterima oleh KKM nanti.

“Ada yang dibuat tahun ini (tambah baik hospital) dan ada yang akan dibawa dalam RMK-12,” katanya.   -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya