Saya setia dengan parti bukan individu – MB Selangor - Utusan Malaysia

Saya setia dengan parti bukan individu – MB Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan khabar angin bahawa beliau ‘orang Azmin’.

Katanya, desas-desus itu muncul berikutan beliau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua yang terletak dalam Parlimen Gombak iaitu kawasan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Antara sebab saya dilabelkan sebagai ‘orang Azmin’ adalah kerana mungkin saya ADUN di kawasan Parlimen Gombak yang diterajui Datuk Seri (Mohamed) Azmin, namun saya tidak nafikan memang saya rapat, baik dan mempunyai hubungan akrab dengan beliau.

“Tetapi dari sudut prinsip dan juga perjuangan, usaha untuk reformasi masih lagi paling baik dilaksanakan Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia di sini kelmarin.

Aminudin memberi contoh situasi tahun 2004 hingga 2007 apabila beliau dilabelkan sebagai penyokong tegar kepada bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Datuk Moha­mad Ezam Mohd. Noor.

Namun katanya, ketika Mohamad Ezam keluar meninggalkan parti, beliau memilih untuk terus kekal bersama PKR.

Dalam perkembangan lain, Aminudin menafikan dakwaan PKR menggunakan dana kerajaan negeri Selangor untuk kepentingan parti.

Katanya, meskipun Selangor menyumbang sebanyak 24 peratus kepada ekonomi negara yang sekali gus membuktikan bahawa ia negeri kaya dengan sumber dan dana, namun semua urusan kewangan negeri diaudit dengan teliti.

“Kita semuanya ada audit, ada peraturan kewangan ­­­di lak­sanakan mengikut garis dan landasan kewangan yang betul.

“Jadi itu cuma tanggapan sesetengah pihak yang sesuka hati, ataupun mereka yang berpengalaman buat benda sebegitu dan mereka ingat, semua orang pun buat benda yang sama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya